BARCELONA, 20 MAC – Barcelona merampas kemenangan Clasico 2-1 ke atas Real Madrid dengan jaringan lewat Franck Kessie kelmarin untuk mendahului 12 mata di puncak La Liga.
Kemenangan itu melemahkan cita-cita Real untuk mengekalkan kejuaraan dan membuat Barcelona semakin hampir untuk menjulang trofi buat kali pertama sejak 2019.
Real kendalian Carlo Ancelotti mendahului menerusi gol sendiri Ronald Araujo tetapi Barcelona menyamakan kedudukan apabila Sergi Roberto menjaringkan gol sebelum separuh masa pertama.
Kedua-dua pasukan berpeluang untuk memenangi perlawanan dan Marco Asensio menjaringkan gol untuk Madrid, tetapi gol itu dibatalkan di-sebabkan ofsaid setelah pemeriksaan VAR, sebelum Alejan-dro Balde membantu Kessie untuk menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-92.
“Kami datang daripada gol Marco Asensio yang kami tidak tahu adalah ofsaid dan daripada ketinggalan kami menjaringkan gol Franck Kessie (gambar-AP), dan sebenarnya ia lebih sedap, menang seperti itu pada minit terakhir,” kata Sergi Roberto kepada Movistar.
“Terdapat banyak perlawanan lagi dan awda tidak boleh menganggap Madrid sudah mengalah. Dua belas mata adalah satu jarak yang sukar untuk ditempuhi, tetapi ia terpulang kepada kami, dan itu baik.”
Menjelang perlawanan, ia dibayangi oleh tuduhan rasuah Barcelona dalam skandal pengadil Caso Negreira.
Madrid menyertai aduan pendakwa raya Sepanyol terhadap Barcelona minggu lalu dan presiden mereka, Florentino Perez menolak untuk hadir ke perlawanan tersebut buat kali pertama dalam tempoh lebih 20 tahun, di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara dua gergasi Sepanyol itu.
Hal tersebut memberi kesan kepada intensiti perlawanan, di dalam dan di luar padang, dalam Clasico keenam Xavi sebagai jurulatih Barcelona tetapi yang pertama di Camp Nou. – AFP
