Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barca sedia hadapi Betis

    BARCELONA, 28 APRIL – Robert Lewandowski dan Barcelona mahu kembali mencetuskan impak ketika menentang Real Betis esok bagi memastikan gelaran La Liga kukuh dalam cengkaman mereka.

    Skuad Xavi Hernandez berkelebihan 11 mata di puncak dalam misi memburu gelaran liga pertama sejak 2019 tetapi kini hanya menang sekali dalam empat aksi terakhir mereka.

    Barcelona tewas mengejut 1-2 di Rayo Vallecano semalam dengan Lewandowski menamatkan kemarau jaringan dalam empat perlawanan tetapi tidak cukup membantu pasukannya yang pulang hampa dari Madrid.

    Penyerang itu bermula garang pada awal musim dan muncul penjaring terbanyak dengan 18 gol tetapi hanya meledak lima jaringan dalam aksi La Liga pada 2023.

    “Kami berada di posisi baik, kami ada dua perlawanan di tempat sendiri dan perlu beraksi dengan cemerlang dan memikirkan mengenai apa yang perlu dilakukan untuk menjadi lebih baik dalam baki tujuh perlawanan akan datang,” kata Lewandowski selepas tewas di Vallecas.

    “Kami tidak sabar dalam mencipta peluang dan mencipta serangan. Kami perlu lebih tenang.”

    Penyerang Poland itu kurang mendapat peluang sejak Piala Dunia susulan masalah kecederaan menimpa beberapa tonggak sepasukan termasuk Ousmane Dembele yang dijangka kembali beraksi esok.

    Pemain sayap itu diketepikan sejak Januari kerana mengalami kecederaan paha manakala pemain tengah, Pedri kembali daripada kecederaan minggu lalu ketika menentang Atletico Madrid.

    Lewandowski berkelebihan empat gol berbanding penyerang Real Madrid, Karim Benzema dalam persaingan memburu gelaran ‘Pichichi’ – penjaring terbanyak Sepanyol. – AFP

    Robert Lewandowski meraikan jaringan gol pertama semasa perlawanan Rayo Vallecano dan Barcelona 26 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda