Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barca semakin parah, ‘secara teknikal muflis’

    BARCELONA, 7 OKT – Ketua eksekutif (CEO) Barcelona, Ferran Reverter berkata hari ini bahawa kelab itu ‘secara teknikalnya muflis’ apabila Joan Laporta mengambil alih jawatan presiden pada Mac lalu dan akan ‘dibubarkan’ jika ia adalah syarikat awam berhad.

    Masalah kewangan kelab gergasi Sepanyol itu bertambah parah pada Ogos lalu apabila mereka terpaksa membiarkan Lionel Messi menyertai Paris Saint-Germain (PSG) selepas mengakui mereka tidak lagi mampu mengekalkan pemain terbaik dunia enam kali itu.

    Ahli lembaga baharu mewarisi hutang sebanyak 1.35 bilion euros (AS$1.56 bilion) dan gaji pemain juga berdepan masalah ketika Laporta kembali buat kali kedua sebagai presiden selepas peletakan jawatan Josep Maria Bartomeu.

    “Sekiranya kelab adalah syarikat berhad ia akan dibubarkan,” kata Reverter pada sidang media di mana dia memaklumkan hasil audit yang dilakukan oleh kumpulan Deloitte.

    “Pada bulan Mac 2021 kami berada dalam situasi muflis secara teknikalnya tetapi sebagai persatuan sukan kami dapat membiayai semula hutang,” jelas Reverter, mendedahkan kelab berdepan masalah untuk membayar gaji pemain kerana aliran tunai yang hampir sifar.

    Pasukan Barcelona semasa melakukan pemanasan badan sebelum perlawanan La Liga menentang Atletico Madrid di Stadium Wanda Metropolitano di Madrid pada 2 Oktober lalu. – AFP

    Untuk mengatasi masalah dalam jangka masa pendek, pegawai mengambil pinjaman sebanyak 80 juta euro (AS$92 juta) untuk menanggung tanggungjawab yang sepatutnya bagi tempoh 90 hari dan membiayai semula hutang sebanyak 595 juta euro.

    Barcelona mengesahkan mengalami kerugian 481 juta euro musim lalu yang mana ia lebih tinggi daripada yang dijangkakan.

    Menurut Reverter, audit mengkaji kewangan kelab dari 2018/19 hingga Mac 2021, mendapati terdapat masalah serius dalam pentadbiran dan pengarah membeli pemain dengan nilai yang jauh daripada realiti.

    Bartomeu terpaksa mengundur diri pada Oktober tahun lalu berikutan tekanan daripada penyokong dan orang ramai serta kegagalannya menyelesaikan masalah untuk meyakinkan Messi terus kekal bersama kelab itu.

    “Ketika mereka menandatangani pemain mereka tidak memikirkan sama ada dapat membayarnya atau tidak. Pada malam yang sama ketika (Antoine) Griezmann ditandatangani mereka menyedari bahawa tiada wang untuknya dan mereka perlu memohon lebih banyak dana.”

    Griezmann terpaksa berundur dari kelab dan bersatu semula dengan Atletico Madrid secara pinjaman pada awal musim ini.

    Antara 2016 dan 2020, kenaikan gaji Barca meningkat 61 peratus, meningkat dari 471 juta euro menjadi 759 juta euro, tambah Reverter. Sejak itu jumlahnya dikurangkan sebanyak 155 juta oleh pengurusan baharu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda