BARCELONA, 30 Jun – Pasukan Barcelona dijadual bertemu kelab dari Brazil, Chapecoense, sebuah pasukan yang hampir keseluruhannya terkorban dalam satu kemalangan udara November lalu dalam perlawanan persahabatan di Camp Nou, 7 Ogos ini.
“Perlawanan ini akan membantu memberi penghormatan kepada 71 orang yang maut dalam kemalangan pada 28 November 2016, termasuk juga ahli keluarga mereka.
“Barca berharap untuk membantu Chapecoense dapat membina semula institusi mereka dan memulihkan persaingan di tahap kompetitif seperti dimiliki sebelum tragedi menimpa, ” kata gergasi Sepanyol itu menerusi laman web mereka.
Pemenang perlawanan akan menerima Trofi Joan Gamper yang dinamakan sempena pengasas Barcelona dari Swiss itu.
Wira Chapecoense sedang dalam perjalanan untuk bertemu Atletico Nacional di Medellin untuk perlawanan terbesar dalam sejarah mereka iaitu final Copa Sudamericana, kejohanan kelab kedua terbesar di Amerika Selatan.
Selepas tragedi, Atletico menyerahkan gelaran berkenaan kepada Chapecoense sebagai tanda penghormatan.
Barcelona menjemput Chapecoense untuk bermain dalam kejohanan persahabatan tahunan Joan Gamper, Disember lalu namun ketika itu tarikhnya masih belum dimuktamadkan. – AFP