Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barca terus tekan Real

    MADRID, 30 April – Dua gergasi Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid kekal terikat dengan 81 mata di kedudukan teratas La Liga selepas masing-masing menewaskan Espanyol dan Valencia, awal pagi tadi.

    Madrid kekal dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan tetapi terpaksa bergelut hingga hujung perlawanan sebelum Marcelo menjadi wira bagi memberikan kemenangan 2-1 ke atas Valencia.

    Luis Suarez pula menjaringkan dua gol dengan Barcelona menghukum kesilapan Espanyol untuk meraih kemenanga 3-0 dan melonjak ke persada liga.

    “Satu-satunya perkara yang kami boleh lakukan adalah memenangi perlawanan kami dan meletakkan sedikit tekanan (ke atas Real),” kata Suarez kepada stesen TV Sepanyol Movistar.

    “Mereka berdepan kesukaran dan jadual yang memenatkan. Kita lihat apa akan berlaku pada akhir musim,” katanya.

    Bintang Barcelona, Luis Suarez (tengah) ketika menjaringkan gol menewaskan penjaga gol Espanyol dalam aksi La Liga di Stadium RCDE. – AP
    Bintang Barcelona, Luis Suarez (tengah) ketika menjaringkan gol menewaskan penjaga gol Espanyol dalam aksi La Liga di Stadium RCDE. – AP

    Jose Manuel Jurado merupakan ‘orang jahat’ Espanyol apabila mensia-siakan peluang keemasan di separuh masa pertama.

    Satu kesilapan daripadanya juga telah menyebabkan Suarez mengakhiri kemarau lima gol dengan satu penyudah kemas lima minit memasuki separuh masa kedua.

    Lionel Messi tidak berjaya menambah koleksi 49 golnya musim ini tetapi masih memainkan peranan penting apabila memberikan umpanan gol kepada Ivan Rakitic bagi jaringan kedua Barca 14 minit sebelum perlawanan berakhir.

    Dan Suarez mendapat manfaat daripada satu lagi kesilapan pertahanan, kali ini daripada Aaron Martin, untuk menjaringkan gol keduanya ketika perlawanan berbaki tiga minit. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda