Barca: Tiada perbincangan mengenai Messi tinggalkan kelab

MADRID, 17 OGOS – Barcelona menegaskan mereka tidak mendengar sebarang berita dari Lionel Messi bahawa dia ingin meninggalkan kelab semasa mesyuarat tergempar yang diadakan di Camp Nou hari ini.

Pegawai-pegawai Barca, termasuk presiden Josep Maria Bartomeu, mengadakan perbincangan besar-besaran selepas keputusan tewas yang memalukan 8-2 ke atas Bayern Munich di pusingan suku akhir Liga Juara-Juara pada Jumaat lalu.

Laporan dari Esporte Interativo kelmarin telah menyebut bahawa Messi telah mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab pada musim panas ini, walaupun sumber Barcelona memberitahu AFP sebelum mesyuarat diadakan bahawa mereka masih belum menerima sebarang berita mengenai perkara itu.

Kekecewaan Messi akan menjadi antara isu yang dibincangkan berserta masa depan pengurus Quique Setien yang dijangkakan akan dipecat.

Ronald Koeman telah disebut sebagai calon pilihan pada hari ini untuk menggantikan Setien, dengan kebimbangan mengenai kesesuaian Mauricio Pochettino, yang sebelum ini mengatakan bahawa dia tidak mungkin akan menjadi pengurus Barcelona disebabkan oleh permusuhan kelab dengan pasukan Espanyol.

Pilihan lain untuk menggantikan Setien ialah jurulatih pasukan B Barca, Garcia Pimienta, yang dilihat menitik beratkan pemain-pemain muda sebelum pelantikan jangka panjang selepas pemilihan presiden tahun depan.

Bekas pemain Barca, Xavi Hernandez akan menjadi pilihan utama Messi dan pemain-pemain senior yang lain tetapi Xavi baru-baru ini telah menandatangani perjanjian baharu bersama kelab dari Qatar, Al-Sadd dan tidak mahu bekerjasama dengan lembaga pengarah Barca ketika ini.

Hasil lain yang mungkin dapat dicapai dalam pertemuan hari ini ialah pemilihan presiden kelab, yang dijadualkan pada bulan Jun 2021, akan diajukan, meskipun kemungkinan besar mereka akan mempercepatkan kepada awal tahun depan berbanding beberapa bulan akan datang. – AFP

Presiden Barcelona Josep Maria Bartomeu semasa menuju mesyuarat tergempar di Camp Nou. Sumber kelab menegaskan mereka masih belum menerima sebarang berita mengenai keputusan Messi untuk meninggalkan kelab.- AFP