Barcelona akhiri musim dengan kekalahan

MADRID, 23 MEI – Barcelona menamatkan saingan 13 mata di belakang juara La Liga Real Madrid selepas menamatkan musim yang tidak konsisten dengan tewas 2-0 di laman sendiri kepada Villarreal kelmarin.

Atletico Madrid pula selamat menduduki tempat ketiga dengan menang 2-1 di tempat lawan di Real Sociedad, mengekalkan kelebihan satu mata ke atas Sevilla, yang menang 1-0 di tempat sendiri kepada Athletic Bilbao.

Kekalahan Athletic, digabungkan dengan kemenangan cemerlang Villarreal di Camp Nou, bermakna Villarreal menewaskan Athletic untuk berada di tempat ketujuh dan layak ke Liga Persidangan Europa.

Meskipun Barca berada dalam empat teratas akhir musim, Xavi Hernandez tetap bimbang menjelang musim panas tentang prestasi pasukannya yang semakin menurun.

Kekalahan oleh Villarreal bermakna Barcelona tewas empat daripada sembilan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan.

Selepas dilantik pada November lalu, dengan pasukan itu berada di tangga kesembilan, Xavi berjaya menghidupkan semula Barca dan mencapai objektif paling penting iaitu layak ke Liga Juara-Juara. – AFP

Aksi pemain Barcelona, Adama Traore (kiri) semasa perlawanan bola sepak La Liga Sepanyol kelmarin. – AP