Friday, February 21, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barcelona dapatkan penyerang muda Brazil

    BARCELONA, 12 JULAI – Barcelona telah mencapai persetujuan untuk menandatangani pemain penyerang muda, Vitor Roque dari kelab Brazil, Athletico Paranaense, juara Sepanyol itu mengumumkan hari ini.

    Pemain penyerang berusia 18 tahun itu akan menyertai Barca dari awal musim 2024-25 dengan perjanjian sehingga musim panas 2031.

    “Klausa pelepasan ditetapkan pada 500 juta euro,” kata Barcelona dalam satu kenyataan.

    Laporan dari Spanyol mengongsikan bahwa Barcelona akan membayar 30 juta euro untuk penyerang Brazil itu dengan tambahan 31 juta euro sebagai bonus potensi.

    Barcelona telah membawa masuk Ilkay Gundogan dan Inigo Martinez secara percuma pada musim panas ini, namun kelab gergasi itu masih mengalami masalah kewangan.

    Mereka kini hanya mampu membelanjakan 50 peratus daripada simpanan atau pendapatan baharu kerana sekatan kewangan La Liga ke atas kelab yang melebihi had perbelanjaan mereka, seperti yang ditetapkan oleh liga Sepanyol.

    Roque, salah seorang prospek paling hangat dalam bola sepak Brazil, berjaya menjaringkan enam gol dalam enam perlawanan terakhirnya.

    Penyerang muda berbakat itu membuat penampilan sulungnya untuk pasukan kebangsaan Brazil pada Mac dan mampu bermain di pelbagai posisi, termasuk di bahagian sayap atau sebagai penyerang tengah.

    Roque menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak di kejohanan Bawah 20 tahun Amerika Selatan awal tahun ini dengan enam gol ketika Brazil menang.

    Barcelona masih mencari pemain tengah bertahan untuk menggantikan kapten Sergio Busquets, yang meninggalkan kelab itu pada penghujung musim lalu untuk menyertai Inter Miami. – AFP

    Reaksi Vitor Roque meraikan menjaringkan gol semasa perlawanan peringkat kumpulan Copa Libertadores di stadium Arena da Baixada di Curitiba, Brazil, pada 18 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda