Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barcelona gagal tembusi Getafe

    MADRID, 12 Feb – Gol penyerang Uruguay, Luis Suarez yang dibatalkan, melengkapkan hari kecewa buat Barcelona apabila pendahulu La Liga itu tercicir mata buat minggu kedua berturut-turut selepas seri 0-0 dengan Getafe.

    Selepas terpaksa mengharapkan gol penyamaan lewat permainan untuk mengutip satu mata dalam pertemuan tetangga Catalan di Espanyol hujung minggu lalu, Barca gagal menembusi benteng Getafe yang membuktikan mereka layak memegang rekod benteng ketiga paling kebal dalam liga.

    Suarez membolosi gawang Getafe hasil sepakan percuma Lionel Messi sejurus sebelum rehat, namun jaringan itu dibatalkan pengadil kerana dia didapati berada dalam kedudukan ofsaid.

    Penyerang itu kemudian menyaksikan tandukannya diselamatkan Vicente Guaita dalam masa kecederaan, dengan Barca gagal menjaringkan gol La Liga di laman sendiri buat pertama kali sejak November 2016.

    Skuad kendalian Ernesto Valverde itu bagaimanapun masih belum tewas selepas 23 aksi La Liga, melebarkan rekod tanpa kalah sejak permulaan musim.

    Reaksi marah dan kecewa Luis Suarez selepas mendapati golnya dibatalkan kerana berada di kedudukan ofsaid dalam aksi La Liga menentang Getafe. – AP

    Kini mereka hanya tujuh mata mengatasi Atletico Madrid, yang meraih kemenangan 1-0 di Malaga Sabtu lalu hasil jaringan Antoine Griezmann. Skuad Rojiblancos itu akan bertandang ke Camp Nou dalam tempoh tiga minggu lagi.

    “Kami tidak gemar seri di laman sendiri, tetapi itulah bola sepak. Lawan kami bertahan dengan baik dan kami gagal menjaringkan gol,” kata Valverde.

    “Mungkin kami kurang menyerlah, tidak mustahil. Menghairankan apabila kami tidak dapat menjaringkan gol di stadium kami.”

    Sementara itu, Valencia merampas kembali kedudukan ketiga daripada Real Madrid, terima kasih kepada kemenangan 3-1 ke atas pesaing bandar, Levante di Mestalla.

    Gol awal Santi Mina telah dibatalkan oleh Sergio Postigo bagi pasukan pelawat, tetapi Luciano Vietto kembali meletakkan Valencia di depan di separuh masa kedua dan Dani Parejo memastikan kemenangan dengan penalti di saat-saat akhir.

    Keputusan itu telah menamatkan enam kekalahan berturut-turut dalam semua persaingan untuk Valencia. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda