MADRID, 25 OKT – Barcelona mengecam penderaan daripada peminat yang ditujukan kepada jurulatih, Ronald Koeman kelmarin ketika dia meninggalkan Camp Nou berikutan kekalahan pasukan itu 2-1 kepada Real Madrid.
Koeman merupakan legenda Barca selepas menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan akhir Piala Eropah 1992 tetapi dia telah mengalami tekanan berat sebagai jurulatih dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
“FC Barcelona secara terbuka mengecam tindakan ganas dan penghinaan yang dialami pengurus kami ketika meninggalkan Camp Nou,” menurut kenyataan kelab tersebut.
“Kelab akan mengambil langkah keselamatan dan tatatertib supaya kejadian malang seperti itu tidak berulang lagi.”
Peminat dilihat berkumpul di sekeliling kereta Koeman dan melemparkan makian terhadap lelaki Belanda itu ketika dia cuba memandu keluar dari stadium.
Barcelona tewas kepada Real Madrid buat kali keempat berturut-turut, kekalahan terpanjang mereka dalam perlawanan itu sejak 1965.
Keputusan itu meletakkan mereka di tangga kelapan dalam La Liga dan memberi tekanan baharu kepada Koeman, yang masa depannya tidak menentu selepas permulaan musim yang buruk. – AFP