BARCELONA, 30 APRIL – Barcelona membelasah Real Betis, yang bermain 10 orang, dengan keputusan 4-0 kelmarin untuk melangkah semakin dekat menjuarai La Liga buat kali pertama sejak 2019.
Sementara itu, Real Madrid menundukkan Almeria 4-2 untuk merapatkan jurang kepada lapan mata namun kemenangan Barcelona itu telah mengekalkan kelebihan 11 mata di hadapan.
Andreas Christensen, Robert Lewandowski dan Raphinha meledak gol untuk Barca di Camp Nou, dan Guido Rodriguez menjaringkan gol sendiri pada lewat perlawanan untuk melengkapkan kemenangan.
Edgar Gonzalez dibuang padang pada awal perlawanan sekali gus memudahkan pasukan bimbingan Xavi Hernandez untuk mengekalkan kedudukan mendahului dengan berbaki enam perlawanan.
Selepas pasukannya mendahului dengan selesa, Xavi membawa masuk penyerang muda berusia 15 tahun, Lamine Yamal dan menjadikannya sebagai pemain termuda kelab untuk membuat penampilan di La Liga.
Betis turut menurunkan pemain veteran, Joaquin Sanchez, 41, untuk penampilan terakhirnya di Camp Nou sebelum dia bersara pada hujung musim ini, dan dia diberikan tepukan oleh peminat Barcelona.
Kelab Catalan itu bangkit daripada kekalahan 2-1 di tangan Rayo Vallecano pada pertengahan minggu.
“Kami banyak melakukan penambahbaikan, ia adalah tindak balas yang sangat baik daripada keseluruhan pasukan. “Kami berada 1-0 di hadapan selepas kad merah, perlawanan memihak kepada kami.”
Xavi menurunkan Christensen dalam kesebelasan utama selepas mengalami kecederaan dan melakukan impak segera semasa kepulangannya.
Hampir 90,000 peminat tuan rumah menyaksikan penampilan sulung Yamal pada minit akhir perlawanan, dan pemain sayap itu nyaris menjaringkan gol namun rembatannya berjaya dihalang oleh Rui Silva. – AFP