BARCELONA, 18 FEB – Robert Lewandowski menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika Barcelona mencatat kemenangan tipis 1-0 di tempat sendiri ke atas Rayo Vallecano kelmarin, sekali gus melonjak ke tangga teratas Liga Sepanyol.
Barcelona ketinggalan tujuh mata daripada kedudukan pertama tiga minggu lalu, namun dua kelab Madrid mengalami penurunan prestasi. Kedua-duanya sekadar mencatat keputusan seri 1-1 pada Sabtu selepas beraksi dengan 10 pemain.
Barcelona mengambil kesempatan semalam dengan meraih kemenangan tipis ke atas satu lagi pasukan dari Madrid, Rayo, hasil jaringan penyerang utama mereka.
“Kami tidak dapat menang setiap perlawanan 3-0, kami perlu bekerja keras,” kata pemain pertahanan Barcelona, Alex Balde, kepada penyiar Movistar.
Lewandowski menjaringkan gol ke-20 musim ini menerusi penalti pada minit ke-28 yang terkena tiang sebelum masuk ke gawang.
Penjaga gol Rayo, Pep Chavarria, beberapa kali menggagalkan percubaan Barcelona.
Jorge de Frutos dari Rayo Vallecano mempunyai satu jaringan yang dibatalkan dan gagal memanfaatkan peluang menerusi tandukan pada masa tambahan.
“Ia adalah kerja keras untuk para pemain dan akhirnya kami gembira,” kata jurulatih Barcelona, Hansi Flick.
“Semua orang gembira dengan kedudukan baharu kami. Saya rasa kami bermain dengan baik, walaupun saya percaya kami boleh lakukan lebih baik.”
Barcelona kekal tanpa kalah dalam 12 perlawanan pada 2025, sambil menamatkan rekod tanpa kalah 10 perlawanan yang telah melonjakkan Rayo ke tempat keenam secara mengejut. – AFP
