BARCELONA, 25 APRIL – Barcelona kelmarin berkata mereka telah memperoleh AS$1.6 bilion (1.45 billion euro) dalam pembiayaan untuk rancangan pembangunan semula dan akan memulakan pengubahsuaian stadium Camp Nou pada 1 Jun.
Kelab itu dalam satu kenyataan berkata wang itu datang daripada perjanjian dengan 20 pelabur yang akan menerima bayaran balik dalam tempoh antara lima dan 24 tahun.
Barcelona berkata mereka akan mula membayar balik pinjaman apabila kerja itu selesai.
Sebagai tambahan kepada stadium bola sepak berkenaan, rancangan itu, yang dipanggil ‘Espai Barca’, termasuk perbelanjaan untuk kemudahan kelab lain. Ia termasuk 420 juta euro yang diperuntukkan untuk Palau Blaugrana, rumah kepada pasukan bola keranjang dan bola baling kelab itu, dan 20 juta euro untuk stadium Johan Cruyff di mana pasukan simpanan lelaki dan bola sepak wanita bermain.
Kelab itu berkata mereka menjangka kerja-kerja di Camp Nou akan disiapkan menjelang 2026. Pasukan utama lelaki akan bermain di stadium Olimpik di Montjuic sebelum kembali pada musim 2024/25 ke Camp Nou yang belum berada pada kapasiti penuh.
Barcelona mencontohi saingan utama mereka dari Sepanyol, Real Madrid yang memulakan pengubahsuaian terbaharu Stadium Bernabeu mereka pada 2019.
Kelab itu bangkit daripada masalah kewangan yang membawa kepada kerugian 481 juta euro pada musim 2020/21 yang menyumbang kepada pemergian penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu, Lionel Messi.
Pada musim panas lalu, kelab itu mengumpul kira-kira 750 juta euro dengan menjual 25 peratus hak siaran televisyen La Liga mereka untuk 25 tahun akan datang dan 49 peratus daripada Barca Studiosnya. – AFP
