BARCELONA, 20 JULAI – Barcelona membatalkan rancangan mereka untuk kembali beraksi di laman sendiri, Camp Nou pada Ogos ini dan menangguhkan pembukaan semula stadium itu ke tarikh yang lebih lewat.
Gergasi Catalan itu pada awalnya merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada 10 Ogos sebagai aksi pertama di Camp Nou selepas dua tahun kerja pembinaan, namun memaklumkan bahawa kesukaran mendapatkan lesen pembukaan separa stadium menjadi sebab utama penangguhan.
“Barcelona memaklumkan bahawa perlawanan pertama di Spotify Camp Nou telah dibatalkan,” kata kelab itu dalam satu kenyataan. “Disebabkan skop kerja-kerja pembinaan yang telah dilakukan, adalah mustahil untuk memenuhi semua keperluan yang ditetapkan oleh peraturan dalam pemberian lesen penggunaan pertama, walaupun kelab bersedia untuk membuka Spotify Camp Nou secara berperingkat.”
Perlawanan pertama di Camp Nou kini dijadualkan dalam aksi La Liga menentang Valencia pada 13 atau 14 September, dengan tiga perlawanan awal Barcelona dalam liga akan berlangsung di tempat lawan.
Namun begitu, Barcelona tidak memberikan jaminan sama ada stadium akan benar-benar dibuka tepat pada masanya untuk perlawanan tersebut, atau bagi aksi Liga Juara-Juara di laman sendiri yang berkemungkinan berlangsung lebih awal.
Barcelona menyatakan perlawanan persahabatan yang dirancang – dilaporkan menentang kelab Itali, Como – akan diadakan di Stadium Johan Cruyff yang terletak berhampiran pusat latihan mereka.
Barcelona telah bermain di Stadium Olimpik di Bukit Montjuïc, bandar Barcelona, selama dua musim terakhir ketika kerja pembangunan di Camp Nou dijalankan.
Kelab itu pada awalnya merancang untuk kembali ke Camp Nou pada November 2024 sempena ulang tahun ke-125 penubuhan kelab, namun pembukaan semula stadium tersebut telah beberapa kali ditangguhkan. – AFP
