Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Sebuah berek ranap dalam kejadian kebakaran di Jalan Berakas pada lewat petang 16 Februari.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, seramai 29 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Berakas, Balai Bomba Lambak Kanan, Balai Bomba Unit Operasi Wanita, Balai Bomba Rimba dan Balai Bomba Jerudong telah dikerahkan ke insiden kebakaran yang melibatkan sebuah berek di Jalan Berakas pada lewat petang Jumaat.
Selepas tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati empat unit berek yang mana, dua unit berpenghuni dan dua unit kosong telah terbakar keseluruhannya, bagaimanapun kesemua penghuni unit rumah berkenaan berjaya keluar sebelum bomba sampai.
Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dalam masa 24 minit dan punca serta anggaran masih dalam penyiasatan.
JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan alamt pemadam api ringkas jenis debu keriong 2kg dan selimut api, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas, untuk memastikan membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan serta memastikan penyelanggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik.
Orang ramai turut disarankan jika berlaku sebarang insiden kecemasan, untuk menghubungi Talian Kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.