Tuesday, January 28, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bariatrik bukan jalan pintas untuk turunkan berat badan

    KUALA LUMPUR – Dianggarkan seorang dalam dua orang rakyat Malaysia adalah obes atau gemuk yang turut melonjakkan penyakit kronik seperti diabetes atau kencing manis.

    Sebagai contoh, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, seorang dalam lima orang dewasa di Malaysia menderita diabetes.

    Ini menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mempunyai masalah obesiti atau kegemukan tertinggi dalam kalangan golongan orang dewasanya di Asia Tenggara.

    Di samping mengamalkan diet atau pemakanan seimbang serta senaman, mereka yang mengalami masalah ini boleh memilih untuk menjalani pembedahan kosmetik seperti bariatrik yang dilaporkan semakin popular sebagai penyelesaian untuk mengurangkan lebihan berat badan.

    Pembedahan ini juga dianggap sebagai penyelesaian jangka panjang dan pengurangan berat badan yang berkesan.

    Namun,pembedahan bariatrik ini sering dianggap sebagai ‘jalan pintas’ untuk mengurangkan lebihan berat badan bagi mereka yang mengalami kegemukan yang teruk.

    Ini kerana ada banyak lagi kaedah untuk berbuat demikian termasuk pelan diet atau kecergasan diri yang turut didakwa boleh mendatangkan hasil pengurangan berat badan yang pantas.

    Dr Lim Huay Cheen, pakar bedah bariatrik dan gastrousus atas di Regency Specialist Hospital, Johor. – Bernama
    Muhammad Naim Ibrahim mengaku banyak perubahan positif berlaku selepas pembedahan bariatrik, namun ia perlu disertakan dengan pemakanan dan gaya hidup sihat. – Bernama
    Dianggarkan seorang dalam dua orang rakyat Malaysia adalah obes atau gemuk yang turut melonjakkan penyakit kronik seperti diabetes atau kencing manis. – Bernama

    Dakwaan yang mengelirukan

    Menurut Dr Lim Huay Cheen, pakar bedah bariatrik dan gastrousus atas di Regency Specialist Hospital, Johor, masyarakat sering tersalah maklum dan berfikiran mereka akan terus menjadi langsing selepas menjalani pembedahan bariatrik.

    Beliau memberitahu Bernama, pengurangan berat badan selepas pembedahan bariatrik sebenarnya satu proses yang akan berlaku secara beransur-ansur yang mengambil masa setahun setengah hingga dua tahun selepas pembedahan. Ini juga memerlukan pengamalan pemakanan yang sihat secara konsisten serta senaman yang kerap.

    Sebagai tambahan kepada hujahnya itu, beliau berkata, tujuan utama pembedahan bukan untuk mengurangkan berat badan kerana ia perlu mengikut beberapa petunjuk, bergantung kepada keadaan pesakit.

    “Kita perlu faham apa yang berlaku semasa pembedahan bariatrik dan bagaimana ia memberi manfaat kepada kesihatan seseorang. Pembedahan ini adalah cara yang selamat untuk menangani masalah lebihan berat badan yang turut menyumbang kepada mengelakkan berlakunya penyakit termasuk sakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes jenis 2 dan gangguan tidur (apnoea).

    “Pembedahan ini boleh juga menurunkan risiko kematian pramatang sehingga sebanyak 30 hingga 50 peratus.

    “Secara ringkasnya, hanya pesakit obes dengan masalah perubatan sedia ada dan mempunyai bacaan BMI lebih daripada 32 mungkin layak untuk pembedahan bariatrik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

    Memahami prosedur

    Dr Lim menjelaskan, semasa pembedahan bariatrik, pakar bedah akan melakukan perubahan kepada sistem penghadaman.

    Beliau memberikan contoh, perut dan usus kecil yang memberi kesan kepada berapa banyak makanan yang boleh dimakan dan berapa banyak nutrisi yang boleh diserap.

    “Ini kerana sewaktu kita makan, makanan itu akan memasuki saluran gastrousus menerusi mulut. Makanan itu kemudiannya pergi ke esofagus atau paip makanan dan kemudian ke dalam perut dan berikutnya ke usus kecil.

    “Dalam perjalanan itu, jus peng-hadaman yang berlainan serta enzim akan bercampur dengan makanan. Nutrien diserap oleh usus kecil dan sisa serta makanan yang tidak dihadam bergerak ke usus besar dan kemudiannya disingkirkan daripada badan. 

    “Itulah sebabnya mengapa pesakit perlu memahami proses ini sebelum pembedahan mereka kerana ia akan melibatkan perubahan penting dalam pengambilan makanan harian mereka,” jelasnya.

    Beliau kemudiannya menambah, terdapat beberapa jenis pembedahan bariatrik atau pembedahan metabolik, termasuk Roux-en-Y gastric bypass dan Sleeve gastrectomy.

    Roux-en-Y gastric bypass mengurangkan saiz perut kepada saiz buah walnut kecil dan kemudiannya dilekatkan ke satu bahagian di usus kecil dipanggil ‘Roux’ (daripada nama pembedahan diambil). Sebagai hasilnya, makanan tidak melalui perut dan bahagian atas usus, dan pesakit menyerap jumlah kalori yang sedikit serta kurang lemak daripada makanan juga nutrien yang sedikit. Ini adalah jenis pembedahan bariatrik yang paling biasa.

    “Untuk Sleeve gastrectomy pula, kira-kira 80 peratus bahagian perut dibuang semasa pembedahan dan apa yang tinggal hanyalah kantung yang berupa tiub atau berbentuk pisang. Ini akan membuatkan pesakit tidak dapat makan makanan yang banyak seperti sebelumnya. Pembedahan ini juga merendahkan pengeluaran hormon ghrelin, akibatnya nafsu pesakit untuk makan berkurangan,” beliau menjelaskan, sambil menambah, dengan gastric bypass dan sleeve gastrectomy, pesakit boleh kehilangan kira-kira 40-50 peratus berat badan.

    Kehidupan selepas pembedahan

    Menurut Dr Lim, terdahulunya, pembedahan bariatrik memerlukan pakar bedah membuat hirisan besar di bahagian perut, namun, dengan kemajuan teknologi, prosedur ini boleh dibuat dengan laparoskopi dan pembedahan ‘lubang kunci’. Prosedur ini memendekkan keperluan pesakit untuk tinggal di hospital selepas pembedahan kepada sehari atau dua hari sahaja.

    Laparoskopi atau pembedahan ‘lubang kunci’ juga dikenali sebagai pembedahan invasif minimum membolehkan pakar bedah mempunyai akses kepada perut menerusi hirisan kecil dan kamera. Ini membolehkan pakar bedah melakukan pembedahan dengan selamat dan berkesan tanpa pesakit perlu mengambil masa panjang untuk sembuh dan kurang berlaku pendarahan dan kurang parut.

    “Bagaimanapun, pembedahan ini hanya permulaan untuk pesakit memperoleh kesihatan yang lebih baik. Inilah sebabnya mengapa ahli profesional perubatan selalu menilai kesediaan pesakit untuk mematuhi perubahan gaya hidup selepas pembedahan, ketika pesakit datang untuk perundingan.

    “Selepas pembedahan, pesakit dikehendaki untuk kembali untuk temu janji lanjutan serta perundingan. Pesakit akan dibimbing sepanjang proses pemulihan serta mematuhi perubahan gaya hidup,” katanya.

    Pengalaman pesakit

    Ahli perniagaan, Muhammad Naim Ibrahim ketika berkongsi pengalamannya selepas menjalani pembedahan gastric bypass untuk menangani masalah obesiti berkata beliau kini kembali bertenaga sepanjang hari.

    Menurut beliau, sebelum pembedahan berkenaan, beliau makan hampir setiap jam dan selepas pembedahan, beliau makan mengikut syor doktor di samping melakukan senaman yang kerap.

    “Saya berazam untuk meneruskan perubahan gaya hidup ini agar saya tampak lebih sihat termasuk dari segi fizikal saya. Meskipun saya lambat untuk sedar yang saya perlu menjaga kesihatan saya, saya gembira saya membuat keputusan yang sukar ini dengan menjalani pembedahan gastric bypass,” katanya.

    Muhammad Naim berkata, beliau sememangnya sudah lama bergelut dengan masalah berat badan dan sering berasa letih, sakit sendi dan sukar tidur pada waktu malam.

    Berat badan ahli perniagaan ini pada satu ketika mencecah sehingga kira-kira 130 kilogram.

    Selepas kehilangan kira-kira 42 peratus berat badannya, beliau kini menjalani gaya hidup yang lebih sihat. Saiz pakaian beliau juga turut bertukar daripada 5XL kepada S, hasil daripada pengamalan diet yang lebih berkhasiat serta program senaman. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda