Friday, November 29, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bariga budaya, konsep sukarelawan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Seramai 110 pelajar lepasan Peringkat A dan O yang telah bergiat aktif dalam menyumbangkan tenaga sebagai sukarelawan pembantu guru prasekolah di sekolah-sekolah rendah kerajaan di seluruh negara pagi tadi menerima sijil pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan bagi Program Sukarelawan Pembantu Guru Prasekolah Sempena Kempen Hari Bertindak Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2024 di Dewan Ruang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis anjuran Kementerian Pendidikan melalui Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak (UPAKK), Jabatan Sekolah-sekolah itu ialah Pengarah Kenaziran Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Zainal Abidin bin Haji Kepli, yang seterusnya menyampaikan sijil penghargaan kepada para pelajar.

    Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Profesional), Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Metussin bin Haji Jais selaku pengerusi majlis. Acara kemudiannya diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat.

    Majlis diteruskan lagi dengan tayangan video Sukarelawan 2024 serta sesi perkongsian pengalaman daripada dua sukarelawan.

    Antara tujuan utama program berkenaan diadakan adalah untuk mendedahkan para belia kepada budaya dan konsep sukarelawan. Melalui penyertaan dalam program tersebut, para pelajar berpeluang untuk berkhidmat secara sukarela kepada masyarakat, serta membangunkan sahsiah dan memperkukuhkan jati diri individu sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat pra-universiti dan universiti.

    Program berkenaan juga dapat memberikan gambaran yang jelas tentang kerjaya guru pendidikan awal kanak-kanak khususnya kepada mereka yang berminat dalam bidang tersebut.

    Selain itu, program itu dapat membantu guru-guru dan pihak sekolah untuk lebih bersedia dan bersistematik dalam mendidik kanak-kanak prasekolah, terutamanya dalam aspek perancangan, pengurusan kanak-kanak, dan penyelenggaraan transisi kanak- kanak daripada rumah ke bangku sekolah dengan sokongan para sukarelawan.

    Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan; pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan serta wakil dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; institusi-institusi pengajian tinggi serta pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat.

    ATAS & BAWAH : Awang Zainal Abidin semasa menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    ATAS & BAWAH : Antara yang hadir pada majlis itu. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda