Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) telah dikendalikan di keempat-empat buah daerah secara berterusan oleh Jabatan Penerangan dengan menumpukan perhatian kepada institusi mukim dan kampung, persatuan serta dalam kalangan belia.
Pengisian program bertujuan untuk memberikan maklumat terkini dalam pelbagai aspek dan bidang ke arah usaha bagi mendukung hasrat kerajaan menaik taraf kehidupan, ekonomi, meningkatkan kesejahteraan, kewaspadaan serta kebajikan rakyat dan penduduk negara ini.
Ia juga dihasratkan dapat membuka minda peserta supaya dapat memahami, menyokong dan menghargai usaha-usaha kerajaan ke arah pembangunan negara terutamanya bagi mencapai wawasan 2035.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Musa bin Mohidin dalam ucapan alu-aluannya pada pembukaan program berkenaan bagi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Perumahan Negara Kampung Panaga, Seria, yang berlangsung di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Kanan Penerangan, Ketua Bahagian Cawangan Daerah, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.

Dalam ucapannya lagi, Awang Musa berkata bahawa melalui program itu jabatan berkenaan berhasrat untuk menekankan lagi peranan dan tanggungjawab masyarakat kepada raja dan pembangunan negara melalui perisian program dalam bentuk taklimat, dialog dan lawatan ke tempat-tempat yang berpotensi membuka minda para peserta.
Ia juga diharap akan memberikan suntikan semangat kepada para peserta sekali gus memberikan motivasi, idea dan inspirasi kepada mereka ke arah melaksanakan aktiviti keusahawanan, pertanian dan sebagainya di kampung masing-masing bagi menjana pertumbuhan ekonomi keluarga, masyarakat dan negara keseluruhannya.
Program itu disertai oleh seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada ahli MPK dan anak-anak kampung perumahan berkenaan.
Para peserta akan menghadiri beberapa sesi taklimat yang meliputi bidang keusahawanan, jenayah siber, kefahaman ajaran sesat dan cara menghindarinya, isu pengangguran, peranan dan tanggungjawab rakyat dan penduduk serta beberapa sesi lawatan.
Pelaksanaan program itu diharap akan disambut baik dan dimanfaatkan sepenuhnya serta dijadikan sebagai pendorong bagi mewujudkan para peserta bermaklumat dan berilmu supaya dapat sama-sama menanai hasrat kerajaan dalam mendukung pelaksanaan wawasan 2035, iaitu ke arah menjadi rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya seterusnya memiliki kehidupan yang berkualiti tinggi dan mencapai ke arah ekonomi yang dinamik serta berdaya tahan.

