Wednesday, December 25, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bariga maklumat bermanfaat kepada penduduk Kampung Labi II

    BELAIT, 15 NOV – Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait, Bahagian Cawangan Daerah, hari ini mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Labi II, Mukim Labi, Daerah Belait bertempat di Dewan Jabatan-jabatan Kerajaan, Mukim Labi.

    Hadir mengetuai rombongan jabatan berkenaan ialah Ketua Bahagian Cawangan Daerah, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.

    Turut hadir bagi menyampaikan maklumat kepada penduduk-penduduk kampung ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Pihak Berkuasa Teknologi Info-Komunikasi (AITI), Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) dan Unified Smart Metering Services Sdn Bhd (USMS).

    Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan di mana beliau menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.

    Program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka itu dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.

    Program tersebut turut diisikan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan prasarana komunikasi, penyelenggaraan dan kemudahan awam serta hal-hal lain.

    Haji Fathi Foad bergambar ramai dengan para penduduk Kampung Labi II yang hadir. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda