Sunday, April 13, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bariga pelbagai maklumat, program

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Komunikasi Strategik telah meneruskan lagi Program Sua Muka dengan kali ini bagi Kampung Burong Pingai, Kampung Pandai Besi A, Kampung Pandai Besi B, Kampung Pekan Lama, Kampung Lurong Dalam, Kampung Sungai Pandan A, Kampung Sungai Pandan B, Kampung Pengiran Setia Negara dan Kampung Sungai Asam.

    Pada acara yang diadakan di kediaman Pemangku Ketua Kampung Zon 1 Kampong Ayer, Haji Tarip bin Haji Asgar itu, rombongan Jabatan Penerangan telah diketuai oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Haji Shahrul Jeffri bin Dato Paduka Haji Ibrahim.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penerangan, program berkenaan merupakan usahanya untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dan membarigakan maklumat dan program serta perkembangan dan kemajuan mukim melalui akhbar Pelita Brunei.

    Dalam program itu, Haji Shahrul Jeffri antara lain menyampaikan maklumat-maklumat mengenai penyebaran maklumat palsu yang boleh diambil tindakan di bawah perundangan Penggal 148 Akta Ketenteraman Awam Seksyen 34 iaitu bagi sesiapa yang sama ada, menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah boleh menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjara tiga tahun dan denda $3,000.

    Di bawah Penggal 24 Akta Hasutan Seksyen 4 (1) iaitu sesiapa sahaja melakukan atau mencuba untuk melakukan atau menyediakan atau bersubahat untuk menjalankan hasutan, mencetak, menyiarkan, menjual, menawarkan untuk menjual, mengedarkan atau mencetak semula sebarang hasutan; serta membawa masuk sebarang warta yang berbentuk hasutan, kecuali dia tidak mempunyai sangkaan bahawa ia berbentuk hasutan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda $5,000.

    Sementara itu, Penolong Pegawai Penerangan Ketua Unit Kenegaraan, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris pula menyampaikan mengenai tatatertib mengibarkan bendera negara Brunei Darussalam, peraturan dan cara mengibarkannya.

    Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab rakyat dan penduduk di negara ini untuk sama-sama menyemarakkan hari-hari kebesaran negara dengan mengibarkan bendera dan memastikan bendera yang dikibarkan hendaklah dalam keadaan sempurna, tidak rosak, koyak dan pudar warnanya.

    Pegawai dari Jabatan Penerangan semasa memberikan penerangan kepada penduduk kampung pada majlis tersebut. – Gambar serahan Jabatan Penerangan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda