Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Bariga peranan MPEC di Daerah Temburong

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Program Akar Umbi berperanan menitikberatkan isu-isu yang dihadapi oleh anak-anak kampung terutama yang berkaitan dengan hal ehwal pekerjaan.

    Dalam hubungan itu, pelaksanaan program berkenaan diharap dapat meningkatkan persefahaman, menjadi platform untuk bercambah fikiran serta mengeratkan lagi silaturahim antara Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan pemimpin-pemimpin akar umbi dalam sama-sama membantu anak-anak kampung untuk mendapatkan pekerjaan serta mempertingkatkan kemahiran mereka.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah JobCentre Brunei (JCB), Hajah Noraini binti Haji Mohd Jamudin dalam ucapan alu-aluannya pada Program Akar Umbi ke-14 yang berlangsung di Daerah Temburong, kelmarin.Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Temburong, Haji Mohamad Azmi bin Haji Suhaili.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan daripada Sekretariat Tetap MPEC.

    Dalam kata alu-aluannya lagi, Hajah Noraini mengongsikan statistik berkaitan dengan pencari kerja di Daerah Temburong.

    Hajah Noraini menyampaikan ucapan alu-aluannya. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR

    “Setakat September 2023, seramai 233 orang pencari kerja tempatan yang telah berdaftar di JCB terdiri daripada penduduk Daerah Temburong, yang mana penduduk dari Mukim Bokok menyumbang kepada jumlah tertinggi.

    “Berdasarkan kelulusan pula, 52 peratus mempunyai sijil sekolah menengah dan ke bawah, 20 peratus mempunyai sijil teknikal dan vokasional, manakala 17 peratus berkelulusan ijazah sarjana muda dan ke atas.”

    Beliau menyatakan, Sekretariat Tetap MPEC melalui JCB telah melaksanakan inisiatif Pejabat Satelit iaitu pembukaan kaunter dan perkhidmatan JCB di Daerah Temburong secara berkala yang membolehkan penduduk daerahberkenaan mengakses perkhidmatan seperti pendaftaran pencari kerja, konsultasi penulisan CV dan tatacara temu duga serta peluang pekerjaan dan latihan kemahiran yang ditawarkan.

    JCB juga giat melaksanakan inisiatif-inisiatif dalam meningkatkan peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan seperti pemadanan kerja dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta mengadakan sesi temu duga di JCB.

    Hajah Noraini berharap pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi bekerjasama untuk sama-sama menyeru dan menggalakkan anak-anak kampung membuat pendaftaran akaun di portal JCB dan seterusnya mendapat akses bagi memohon pekerjaan yang ditawarkan melalui platform JCB.

    Beliau merakamkan penghargaan kepada pemimpin-pemimpin akar umbi atas penglibatan yang berterusan dalam sama-sama merealisasikan Matlamat 1 Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk menjadikan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

    Majlis diteruskan dengan taklimat mengenai Sekretariat Tetap MPEC serta perkhidmatan JCB yang telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Dayang Siti Nur ‘Ai’syatussolehah binti Haji Mohd Soffi dan Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Dayang Nur Syahidatul Nadzirah binti Awang Yahya.

    Program Akar Umbi bermatlamat meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai penubuhan MPEC serta fungsi, peranan dan inisiatif-inisiatifnya, kepada para
    penghulu mukim, pemangku penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan pemangku ketua-ketua kampung selaku pemimpin-pemimpin akar umbi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...