Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Pendidik telah mengadakan beberapa sesi pembarigaan mengenai Cuti Ihsan bagi tenaga pengajar kepada pemimpin-pemimpin sekolah dan wakil institusi pengajian tinggi.
Hadir bagi sesi hari ini yang berlangsung di Auditorium 1, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Katok itu ialah pemimpin-pemimpin sekolah kerajaan dari Kluster 2, 3, 4 dan 6, wakil daripada beberapa sekolah swasta serta wakil daripada Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Politeknik Brunei (PB).
Taklimat bagi Cuti Ihsan telah disampaikan oleh Pengarah Pengurusan Pendidik, di Kementerian Pendidikan, Dayang Masdiah binti Haji Tuah yang antara lain mengongsikan syarat dan garis panduan Cuti Ihsan kepada para pemimpin sekolah dan wakil institusi pengajian tinggi kerajaan.
Cuti Ihsan adalah cuti yang diberikan kepada tenaga pengajar di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama semasa sesi penggal persekolahan mengikut garis panduan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.
Pemberian Cuti Ihsan merupakan usaha kerajaan dalam menjaga hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan para tenaga pengajar, sekali gus dapat meningkatkan motivasi mereka dalam melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran.
Sesi pertama telah diadakan pada 9 November lalu bagi pemimpin-pemimpin sekolah kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan dari Kluster 1 dan 5.