Saturday, May 3, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barracuda pemangsa samudera biru

    Oleh Raz AS

    Dipanggil dengan nama tempatan sebagai Titir semasa kecilnya, Alu-alu dan Lengkoh setelah mencecah saiz besar, ikan yang dikenali sebagai Barracuda dalam Bahasa Inggerisnya ini merupakan ikan pemangsa air masin daripada genus Sphyraena.

    Ikan yang terkenal dengan sifat ganas, agresif dan rupa menakutkan dek giginya yang tajam ini boleh ditemui di kawasan laut tropika dan subtropika di seluruh dunia, dari timur Lautan Atlantik sehingga ke Laut Merah dan Laut Carribean, dan Lautan Pasifik.

    Berbadan panjang tirus seumpama torpedo, ikan barracuda mempunyai gigi tajam seperti taring pada rahang mulutnya yang besar. Rahang bawahnya sedikit ke hadapan daripada rahang atasnya.

    Badannya yang berwarna kelabu gelap, kehijauan dan putih atau biru pada bahagian atas dan perak pada bahagian bawah mengikut spesies itu ditutupi dengan sisik-sisik halus.

    Sesetengah spesies barracuda boleh membesar sehingga lebih 2 meter panjang dan mencecah sehingga berat kira-kira 46.2kg seperti guniean barracuda (sphyraena afra) yang boleh ditemui di timur Atlantik dari Mauritania ke Namibia.

    Chloe Hornhardt pemancing muda berusia 13 tahun bersama ikan great barracuda yang memecah Rekod Dunia IGFA wanita bagi kelas tali berkekuatan 6lb untuk spesies tersebut.

    Manakala Sphyraena jello atau juga dikenali sebagai Pickhandle Barracuda yang juga boleh ditemui di perairan negara kita pula diketahui boleh membesar sehingga 1.5 meter panjang.

    Selain menghuni kawasan laut terbuka, ikan ini juga boleh ditemui di kawasan pesisir pantai dan muara sungai yang menjadikan ikan dan sotong sebagai sumber dietnya.

    Meskipun dianggap sebagai gamefish yang hebat di kalangan pemancing di seluruh dunia, namun sesetengah pemancing menganggap ikan barracuda sebagai ikan ‘pengacau’ kerana ia terkenal sebagai pemutus tali pancing dan kadang-kadang membaham ikan lain yang telah memakan pancing sehingga menyebabkan ikan tersebut terputus dua.

    Selain itu, ikan barracuda juga po-pular dijadikan sebagai hidangan akan tetapi tidak disyorkan untuk memakan ikan barracuda bersaiz besar kerana kandungan toksin di dalam badannya yang boleh mengakibatkan cirit-birit, muntah-muntah, gatal dan pening (Ciguatera fish poisoning –CFP).

    Sedikit fakta menarik berkaitan ikan barracuda, rekod dunia yang diiktiraf International Game Fish Association atau dikenali sebagai IGFA bagi pemancing wanita kelas tali berkekuatan 6lb untuk ikan great barracuda (Sphyraena barracuda) disandang oleh Chloe Hornhardt, seorang pemancing muda berusia 13 tahun dari Australia, dengan ikan great barracuda seberat 16.42 kilogram pada tahun lalu. Ini juga merupakan Rekod Dunia IGFA ke-14 yang disandang beliau pada usia semuda itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda