Tuesday, February 4, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bart De Wever dilantik PM Belgium baharu

    BRUSSELS, 3 FEB – Bart De Wever telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Belgium yang baharu, hari ini, selepas mencapai perjanjian gabungan yang sukar, mengalihkan negara itu ke arah politik sayap kanan.

    Perjanjian tersebut, yang dimeterai lewat Jumaat selepas tujuh bulan rundingan yang mencabar, menjadikan De Wever sebagai nasionalis pertama dari Flanders yang berbahasa Belanda dilantik sebagai Perdana Menteri Belgium.

    Sebagai calon yang menekankan undang-undang dan ketenteraman, gabungan yang dipimpinnya telah berjanji untuk mengambil tindakan tegas terhadap migrasi tidak teratur, mengukuhkan lagi peralihan politik Eropah ke arah sayap kanan.

    Pemimpin berusia 54 tahun itu, yang dalam beberapa tahun kebelakangan ini mengendurkan seruannya mengenai kemerdekaan Flanders, mengangkat sumpah di hadapan Raja Philippe dalam satu majlis di istana diraja di Brussels.

    Dari sana, beliau terus menghadiri pertemuan pemimpin Kesatuan Eropah (EU) beberapa blok dari istana untuk membincangkan isu pertahanan dan hubungan transatlantik.

    “Dan sekarang, masa untuk bekerja,” tulis pemimpin baharu itu di media sosial X, bersama gambar majlis angkat sumpahnya.

    Parti N-VA pimpinan De Wever merupakan sebahagian daripada kumpulan berhaluan kanan ECR di Parlimen Eropah, yang turut dianggotai ahli politik dari parti Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan pemimpin Czech, Petr Fiala.

    “Kumpulan ECR kami kini mempunyai tiga perdana menteri di meja Majlis Eropah dan terlibat dalam kerajaan tujuh negara,” ujar ahli politik berhaluan kanan Perancis, Marion Marechal, di X.

    Parti-parti berhaluan kanan, yang sering mendapat sokongan melalui sentimen anti-imigrasi, menunjukkan prestasi cemerlang dalam pilihan raya Parlimen Eropah tahun lalu serta mendominasi pilihan raya kebangsaan dan serantau di Austria, Jerman dan Belanda. – AFP

    Bart De Wever semasa upacara angkat sumpah Perdana Menteri baharu dan ahli kerajaan persekutuan di Istana Diraja di Brussels, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda