STUTTGART, 26 APRIL – Pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty merangkul kejuaraan WTA buat kali ketiga tahun ini selepas berjaya mengalahkan Aryna Sabalenka dalam perlawanan akhir kejohanan di gelanggang tanah liat di Stuttgart semalam, sekali gus menjadi juara pertama dalam 20 tahun yang juga memenangi acara beregu.
Selepas menang di Miami dan saingan pra-Terbuka Australia di Melbourne, Barty merangkul juara di Stuttgart dalam kejohanan pertamanya dalam saingan gelanggang tanah liat di Eropah musim ini, tatkala juara Terbuka Perancis 2019 itu mempersiapkan diri untuk beraksi di Roland Garros minggu depan.
Sehari selepas sambutan hari jadinya ke-25, pemain dari Australia itu tumpas di set pertama sebelum bangkit dengan kemenangan 3-6, 6-0, 6-3 ke atas Sabalenka, yang memerlukan rawatan kerana cedera pada set kedua akibat ketegangan otot.
“Kembali sembuh, kembali sihat, anda akan kembali dalam masa yang singkat,” kata Barty kepada Sabalenka.
Ia adalah minggu yang sangat mengembirakan buat pemain dari Australia itu, yang juga memenangi perlawanan beregu bersama rakan segan-dingannya, Jennifer Brady.
Ini adalah kali pertama pemain itu memenangi aksi perseorangan dan beregu sejak Lindsay Davenport melakukannya pada 2001.
“Saya rasa saya telah menaikkan tahap tenis saya ke satu peringkat yang baharu minggu ini,” kata Barty.
“Saya tidak jauh di set pertama, ada pertukaran taktikal ketika saya lebih banyak bergerak di gelanggang pada set kedua. Saya sangat bangga dapat meletakkan bola dalam kawasan sukar yang membuatkan dia perlu mengambil risiko,” tambahnya.
Walaupun bermain set ketiga dengan kaki kanannya diikat, Sabalenka dari Belarus malah mematahkan Barty dengan keputusan 3-1, tetapi akhirnya gagal menambah gelarannya sejak Januari lalu di Abu Dhabi. – AFP









