MADRID, 30 APRIL – Ashleigh Barty berjaya mengatasi Shelby Rogers semalam pada pusingan pertama Terbuka Madrid ketika pemain nombor satu dunia itu bersiap untuk merebut kembali gelaran Terbuka Perancis di Paris bulan depan.
Barty menikmati kemenangan selesa 6-2, 6-1 ke atas Rogers untuk menempah tempat di pusingan kedua, di mana beliau akan berdepan menentang Hsieh Su-Wei atau Tamara Zidansek.
Pemain Australia itu akan menjadi pemain pilihan di Roland Garros selepas kemenangannya di sana pada tahun 2019 dan kerana penampilannya yang sangat baik baru-baru ini.
Barty tiba di Madrid setelah memenangi gelaran WTA ketiga pada tahun ini di Stuttgart, yang membawa kemenangan berturut-turut kepada 11 perlawanan di gelanggang tanah liat Eropah.
Beliau mengatakan kelmarin bahawa beliau harus menyesuaikan diri dengan keadaan di Madrid tetapi dengan mudah menyingkirkan Rogers, yang kini mencatatkan kekalahan lima kali, termasuk empat kali tahun ini.

“Perlawanan yang akan kita lalui, kita akan bermain setiap bulan tahun ini, cukup menjadikannya tradisi,” kata Barty dalam sidang media.
“Setiap kali kamu melangkah keluar dari gelanggang melawan Shelby, kamu benar-benar aktif, menampilkan yang terbaik kerana beliau memiliki kemampuan untuk menewaskan kamu dengan sangat cepat.”
Rogers, di kedudukan ke-43, tewas kepada Barty pada pusingan 16 Terbuka Australia pada Februari lalu sebelum perlawanan tiga set di gelanggang tanah liat di Charleston awal bulan ini.
Tetapi pemain Amerika itu tidak dapat menandingi lawannya kali ini, dengan Barty mampu mengatasi Rogers yang melakukan terlalu banyak kesalahan.
Sebelum itu pada perlawanan yang berasingan, pemain pilihan keempat Elina Svitolina mengalami kekalahan mengejut menentang pemain nombor 40 dunia dari Switzerland, Jil Teichmann, yang menyelamatkan enam mata perlawanan.
Juara tiga kali Madrid, Petra Kvitova, Angelique Kerber, Kiki Bertens dan Johanna Konta semuanya berjaya ke pusingan seterusnya.- AFP