Thursday, November 14, 2024
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bas bawa rombongan pengantin terjunam dalam sungai, 14 maut

    GILGIT, 13 NOV – Sebuah bas yang membawa tetamu pulang dari majlis perkahwinan terjunam ke dalam sungai di utara Pakistan, mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang, kata pegawai hari ini, dengan pengantin perempuan setakat ini menjadi satu-satunya mangsa yang diketahui selamat.

    “Terdapat 25 orang di dalam bas dan setakat ini 14 mayat telah ditemui manakala 10 lagi masih hilang,” kata Wazir Asad Ali, seorang pegawai penyelamat di Gilgit-Baltistan.

    “Pengantin perempuan berada dalam keadaan selamat dan sedang dirawat di hospital Gilgit,” tambah Ali.

    Naik Alam, seorang pegawai kanan polis dari kawasan itu, memberitahu AFP bahawa pemandu bas didapati memandu laju apabila dia hilang kawalan di selekoh.

    Keluarga pengantin lelaki telah memulakan perjalanan dari Punjab, lebih 500 kilometer jauhnya, untuk majlis perkahwinan dan sedang dalam perjalanan pulang apabila kemalangan berlaku.

    Kemalangan jalan raya dengan angka kematian tinggi adalah perkara biasa di Pakistan, di mana langkah keselamatan adalah longgar, latihan pemandu lemah dan infrastruktur pengangkutan usang.

    Di Balochistan pada Ogos lalu, 12 lelaki maut apabila bas mereka terjunam ke dalam gaung di Lebuh Raya Pantai Makran.

    Dalam kemalangan lain pada bulan yang sama, 24 orang yang menaiki bas maut apabila bas mereka jatuh ke dalam gaung berhampiran bandar Azad Pattan di sempadan antara wilayah Punjab dan Kashmir yang ditadbir Pakistan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda