Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bas dirempuh lori tangki, 13 terbunuh

    ABIDJAN, 8 SEPT – Seramai 13 orang terbunuh dan 45 cedera dalam kemalangan jalan raya di utara Ivory Coast, selepas sebuah lori tangki merempuh sebuah bas, kata penyelamat dan media tempatan, kelmarin.

    Sebuah bas yang membawa penumpang dan trak berisi petrol di laluan bertentangan bertembung pada hari Jumaat di mana lebar jalan telah disempitkan oleh trak barang yang diletakkan tanpa penunjuk, kata Police Secours, platform memantau kemalangan maut di negara tersebut.

    Kenderaan itu terhempas sekitar 11 malam di lebuh raya antara Bouake dan Korhogo, dua bandar besar di utara Ivory Coast.

    “Perlanggaran antara bas dan lori tangki itu mencetuskan kebakaran dengan intensitinya yang mengerikan,” menyebabkan 13 mayat rentung oleh api, tulis Police Secours.

    Ivorian Press Agency (AIP) mengesahkan jumlah korban termasuk 19 kanak-kanak yang cedera dikejarkan ke hospital di bandar berdekatan Katiola dan Niakara.

    Kemalangan maut kerap berlaku di Ivory Coast kerana banyak jalan raya dan kereta dalam keadaan buruk dan pemanduan yang melulu. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda