Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bas Dortmund diserang

    DORTMUND, 12 April – Perlawanan suku akhir pertama antara Borussia Dortmund dan Monaco ditangguhkan selepas bas yang membawa pasukan dari Jerman itu diserang dalam tiga siri letupan, awal pagi tadi.

    Letupan itu menyebabkan penjaga gol Sepanyol, Marc Bartra cedera dan dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan. Bas pasukan Dortmund dikatakan dalam perjalanan dari hotel penginapan pasukan menuju ke Stadium Borussia, kira-kira 10 kilometer dari situ.

    Polis Jerman berkata, mereka percaya yang tiga siri letupan yang menggegarkan bas pasukan Borussia Dortmund menjelang perlawanan Liga Juara-Juara, disasarkan kepada kelab.

    “Kami beranggapan yang ia adalah serangan yang disasarkan kepada pasukan Dortmund,” kata ketua polis Dortmund, Gregor Lange.

    Menurut Lange, barang seakan bahan letupan ditemui di hotel pasukan selepas letupan berkenaan, tetapi ia tidak meletup.

    Keadaan bas Dortmund yang rosak selepas diserang sebelum aksi menentang Monaco, kelmarin. – AFP
    Keadaan bas Dortmund yang rosak selepas diserang sebelum aksi menentang Monaco, kelmarin. – AFP

    Pihak pendakwa raya tempatan turut mendedahkan sepucuk surat ditemui berhampiran lokasi kejadian, yang berlaku sejurus selepas bas pasukan berkenaan keluar dari hotel.

    “Ia sedang dikenal pasti,” kata pendakwa raya, Sandra Luecke kepada wartawan tanpa mendedahkan kandungan surat itu.

    Sementara itu, pasukan penyiasat Jerman sedang memburu sebarang suspek berpotensi yang bertanggungjawab dalam insiden tiga letupan yang ditujukan kepada bas pasukan Dortmund menyebabkan pemain cedera.

    Kejadian yang disifatkan polis Dortmund sebagai ‘serangan bersasaran’ itu mengejutkan arena bola sepak Jerman menjelang saingan suku akhir pertama Liga Juara Juara menentang AS Monaco yang dijadualkan awal pagi tadi.

    Akhbar harian paling laris di Jerman, Bild melaporkan, sumber penyiasat mendakwa mereka sedang mencari sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan penyerang.

    Kenderaan itu dikatakan menggunakan nombor pendaftaran luar dan polis berkata, mereka percaya letupan itu berpunca daripada sejenis bom batang paip.

    Setakat ini, polis belum mengenal pasti motif kejadian dan akan menyiasat semua kemungkinan serta bukti berkaitan termasuk surat yang ditemui berhampiran lokasi kejadian.

    Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin berkata, Borussia Dortmund dan AS Monaco membuat keputusan tepat membatalkan perlawanan dan menunda ke tarikh lain selepas insiden serangan itu, awal pagi tadi.

    Badan induk bola sepak Eropah itu memberikan maklum balas segera selepas dikejutkan dengan insiden tiga letupan berhampiran bas pasukan menyebabkan pemain Dortmund cedera.

    Ceferin yang mengakui dia terkejut dengan insiden itu berkata, kedua-dua pasukan membuat keputusan tepat apabila menunda perlawanan dengan mengutamakan keselamatan peminat, pemain dan pegawai.

    Beliau turut meminta semua pihak, kelab, pihak berkuasa dan penyokong kedua-dua pasukan menyokong sepenuhnya kerjasama menyiasat insiden berkenaan.

    Sementara itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Gianni Infantino juga mengutuk serangan berkenaan dan menganggapnya sebagai sesuatu yang membimbangkan.

    “FIFA mengutuk insiden di Dortmund. Kami semua sedang menunggu laporan penuh kejadian,” katanya. – AFP/AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda