LONDON, 27 JUN – Sebuah bas dua tingkat yang membawa pelajar sekolah menengah terjunam ke dalam sungai di selatan England kelmarin, menyebabkan pemandu dan empat remaja dimasukkan ke hospital manakala puluhan yang lain mengalami kecederaan ringan, menurut pihak berkuasa.
Bas berkenaan dalam perjalanan ke Kolej Tingkatan Enam Barton Peveril, sebuah sekolah untuk pelajar berusia 16 hingga 18 tahun, apabila ia terbabas dari jalan di Eastleigh lalu terjunam ke dalam Sungai Itchen. Punca kemalangan sedang disiasat oleh polis dan syarikat bas.
Menurut polis, tiada petunjuk jelas tentang punca bas itu terbabas. Namun, seorang wanita yang tinggal berhampiran dan terdengar bunyi brek yang kuat serta melihat bas itu melanggar penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam sungai berkata, pemandu memaklumkan kepadanya bahawa dia tidak dapat memberhentikan kenderaan tersebut.
Kelly West, yang membantu menyelamatkan beberapa pelajar, berkata bas itu bergerak hampir 100 km/j dan menyifatkan situasinya seperti dalam filem Speed lakonan Keanu Reeves dan Sandra Bullock yang mengisahkan sebuah bas meluncur laju di Los Angeles.
“Salah seorang remaja berkata bas itu semakin laju menuruni jalan dan mereka tidak tahu apa yang akan berlaku,” kata West.
“Saya dapat bayangkan mereka semua menyangka akan mati.” – AFP


