SRINAGAR, 30 MEI — Sebuah bas yang membawa jemaah Hindu ke sebuah kuil di wilayah Kashmir yang dikuasai India hari ini terbabas dari jambatan lebuh raya ke dalam gaung Himalaya, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan 55 orang, kata polis.
Bas itu dalam perjalanan ke bandar Katra dari utara Punjab, bandar Amritsar apabila ia jatuh ke dalam gaung berhampiran bandar Jammu, kata polis.
Pegawai polis tempatan, Chandan Kohli memberitahu pemberita bahawa bas itu terlebih muatan. Beliau berkata mangsa yang maut berasal dari negeri Bihar di timur India.
Penduduk dan pihak berkuasa bergegas ke lokasi kemalangan itu dan melancarkan operasi menyelamat. Mereka yang cedera telah dimasukkan ke hospital. Kuil Vaishno Devi di Katra sangat dihormati oleh penganut Hindu dan ratusan ribu mengunjunginya setiap tahun.
India mempunyai beberapa kadar kematian jalan raya tertinggi di dunia, dengan ratusan ribu orang terbunuh dan cedera setiap tahun. Kebanyakan kemalangan dipersalahkan kerana memandu secara melulu, jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik dan kenderaan yang semakin usang. – AP