RIYADH, 17 NOV – Kedutaan India di Arab Saudi hari ini berkata, sebuah kemalangan bas “tragik” yang melibatkan jemaah Muslim telah berlaku berhampiran kota suci Madinah pada waktu malam, dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi menyampaikan ucapan takziah.
“Saya amat sedih dengan kemalangan di Madinah yang melibatkan warganegara India. Fikiran saya bersama keluarga yang kehilangan orang tersayang,” tulis perdana menteri itu di X.
“Saya berdoa agar semua yang cedera segera pulih. Kedutaan kami di Riyadh dan konsulat di Jeddah sedang memberikan segala bantuan yang mungkin,” tambahnya.
Media India melaporkan, puluhan mungkin telah terkorban dalam kejadian itu, walaupun pihak berkuasa masih belum mengeluarkan angka rasmi.
Mengangkut para jemaah di sekitar kawasan suci Arab Saudi sering menjadi aktiviti berisiko, terutamanya ketika musim haji apabila jalan raya boleh menjadi huru-hara dengan bas yang menyebabkan kesesakan lalu lintas berpanjangan.
Berjuta-juta orang juga mengunjungi Arab Saudi untuk menunaikan umrah yang berlangsung di luar musim haji.
Pada Mac 2023, sebuah bas yang membawa jemaah ke kota suci Mekah terbakar selepas perlanggaran di atas sebuah jambatan, mengorbankan 20 orang dan mencederakan lebih dua dozen yang lain.
Manakala, pada Oktober 2019, seramai 35 warga asing terbunuh dan empat lagi cedera apabila sebuah bas berlanggar dengan kenderaan berat lain berhampiran Madinah.
Ibadah haji dan umrah merupakan komponen penting dalam sektor pelancongan yang semakin berkembang di Arab Saudi, yang diharap dapat membantu mempelbagaikan ekonomi negara itu daripada bergantung kepada bahan api fosil.
Kerajaan Teluk itu juga menjadi tempat tinggal lebih dua juta warga India yang sejak sekian lama memainkan peranan penting dalam pasaran kerja, membantu membina pelbagai projek mega negara itu sambil menghantar berbilion dolar kiriman wang pulang setiap tahun. – AFP

