Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bas komuter pintar bantu kurangkan kesesakan lalu lintas

    SALT LAKE CITY – Rahsia untuk mengelak daripada terperangkap di lampu merah semasa waktu puncak di bandar terbesar Utah mungkin semudah menaiki bas.

    Pegawai pengangkutan telah membangunkan sistem di mana pemancar radio di dalam bas komuter berhubung secara langsung dengan lampu isyarat di kawasan Salt Lake City, untuk melanjutkan beberapa saat lampu hijau apabila bas menghampiri persimpangan.

    Kesesakan di laluan yang dipanggil jalan raya pintar yang menggunakan teknologi itu kini sudah menunjukkan kesan positif, dengan aliran trafik yang lebih lancar. Bagaimanapun, ini hanyalah sebahagian kecil daripada peningkatan teknologi yang lebih canggih yang dijangka diperkenalkan ke seluruh Utah dan seterusnya ke seluruh Amerika Syarikat (AS).

    Dibangunkan dengan menggunakan geran persekutuan bernilai AS$20 juta dan mempunyai misi untuk ‘Menghubungkan bahagian Barat’. Matlamat utama projek ini adalah untuk memastikan semua kenderaan di Utah, serta negeri sekitar seperti Colorado dan Wyoming, boleh berkomunikasi antara satu sama lain dan dengan infrastruktur jalan raya mengenai kesesakan, kemalangan, bahaya jalan raya dan keadaan cuaca.

    Dengan maklumat itu, pemandu boleh segera mengetahui laluan alternatif yang boleh diambil tanpa memerlukan campur tangan manusia untuk menghantar amaran secara manual ke papan tanda elektronik atau aplikasi peta di telefon pintar.

    Bas komuter yang dilengkapi dengan pemancar radio menghampiri lampu isyarat yang bersambung di Jalan Redwood di Salt Lake City. – AP
    Bas komuter yang dilengkapi dengan pemancar radio melepasi lampu isyarat di Jalan Redwood, sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan keselamatan dan kecekapan. – AP
    Gambar AP
    Pemancar radio tergantung pada tiang lampu isyarat semasa ia menghantar isyarat ke bas komuter yang dilengkapi di Jalan Redwood. – AP

    “Sebuah kenderaan boleh memberikan banyak maklumat mengenai keadaan jalan raya,” kata jurutera teknologi pengangkutan di Jabatan Pengangkutan Utah, Blaine Leonard.

    “Mungkin ia membrek dengan kuat, atau pengelap cermin depannya dihidupkan, atau tayarnya tergelincir. Kenderaan itu menghantar maklumat secara tanpa nama kepada kami sebanyak 10 kali sesaat, memberikan aliran data yang berterusan,” ujarnya.

    Apabila kereta menghantar maklumat secara masa nyata kepada kenderaan lain serta sensor di sepanjang dan di atas jalan raya, teknologi itu dikenali sebagai vehicle-to-everything (V2X). Bulan lalu, Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat (AS) melancarkan pelan induk kebangsaan bagi panduan kerajaan negeri, tempatan dan syarikat swasta untuk melaksanakan projek V2X secara seragam.

    Matlamat utama adalah untuk mengurangkan secara drastik kematian dan kecederaan serius di jalan raya, yang baru-baru ini mencatatkan peningkatan ketara.

    Analisis pada 2016 oleh Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuh raya Kebangsaan mendapati bahawa teknologi V2X berpotensi membantu. Kajian menunjukkan bahawa pelaksanaan dua aplikasi terawal V2X di seluruh negara mampu mengelakkan 439,000 hingga 615,000 kemalangan serta menyelamatkan 987 hingga 1,366 nyawa.

    Dan Langenkamp, yang memperjuangkan keselamatan jalan raya sejak isterinya, Sarah Langenkamp, seorang diplomat AS, terbunuh dalam kemalangan dengan trak ketika berbasikal di Maryland pada 2022, turut menyertai sidang media pengumuman pelan induk V2X. Beliau menyeru agar teknologi itu dilaksanakan secara meluas dan pantas di seluruh negara itu.

    “Bagaimana kita sebagai pegawai kerajaan, pengeluar dan rakyat Amerika tidak memajukan teknologi ini secepat mungkin, sedangkan kita tahu bahawa teknologi ini dapat menyelamatkan kita daripada krisis kemalangan jalan raya,” katanya.

    Kebimbangan awam terhadap teknologi ini tertumpu kepada isu privasi. Walaupun pelan pelaksanaan V2X berjanji untuk melindungi maklumat peribadi, terdapat kebimbangan daripada aktivis privasi.

    Pengkritik mendakwa walaupun sistem itu tidak menjejaki kenderaan tertentu, ia masih boleh mengumpul maklumat yang mencukupi untuk mengenal pasti kenderaan seperti tekanan tayar dan boleh digunakan untuk mengetahui siapa yang memandu dan ke mana destinasi mereka.

    “Sebaik sahaja awda mempunyai maklumat yang mencukupi, awda boleh mengetahui bahawa kereta yang melalui jalan ini pada waktu tertentu mungkin milik datuk bandar ini,” kata Pengarah Bersekutu Teknologi dan Dasar di Yayasan Frontier Elektronik, Cliff Braun, yang memperjuangkan hak privasi digital.

    Menurut pelan induk persekutuan, 75 kawasan metropolitan utama di AS perlu berusaha untuk melengkapkan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada persimpangan isyarat dengan teknologi itu menjelang 2028, dengan sasaran lebih tinggi pada tahun-tahun berikutnya. Kawasan Salt Lake City telah mencapai lebih daripada 20 peratus pelaksanaan teknologi tersebut.

    Proses menaik taraf lampu isyarat adalah tugas yang mudah. Namun, data yang lebih penting datang daripada kenderaan itu sendiri. Walaupun kebanyakan kenderaan baharu mempunyai ciri sambungan, ia tidak berfungsi dengan cara yang sama.

    Sebelum memulakan pelan ‘Menghubungkan bahagian Barat’, pegawai Utah telah menguji teknologi kenderaan terhubung berasaskan radio pertama di negara itu, menggunakan data daripada kenderaan armada seperti bas dan jentolak salji. Salah satu projek perintis awal menaik taraf laluan bas di jalan sibuk Redwood Road, dan perbezaannya bukan hanya dirasai oleh penumpang bas.

    “Apa sahaja yang mereka lakukan berkesan,” kata Jenny Duenas, penolong pengarah Panda Child Care, yang mempunyai 80 kanak-kanak berdaftar berusia antara enam minggu hingga 12 tahun. “Kami sudah lama tidak mengalami kesesakan lalu lintas. Apabila lalu lintas lebih lancar, lebih mudah untuk menguruskan pergerakan kanak-kanak,” jelasnya.

    Casey Brock, penyelia komunikasi bas untuk Pihak Berkuasa Transit Utah, berkata kebanyakan perubahan mungkin tidak disedari oleh pemandu. Namun, walaupun pemendekan masa beberapa saat dalam perjalanan bas dapat mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan, katanya.

    “Dari sudut pandangan penumpang, mungkin mereka rasa seperti ‘Oh, hari ini perjalanan lancar’,” kata Brock. “Mereka tidak perlu tahu semua mekanisme yang berlaku di sebalik tabir,” ujarnya.

    Pada musim panas ini, Michigan membuka koridor kenderaan terhubung dan automatik sepanjang tiga batu yang dirancang untuk Lebuh Raya Antara Negeri 94 antara Ann Arbor dan Detroit. Projek perintis ini dilengkapi dengan infrastruktur digital seperti sensor dan kamera yang dipasang di tiang sepanjang lebuh raya untuk membantu pemandu bersedia menghadapi kelambatan trafik dengan menghantar pemberitahuan tentang halangan seperti serpihan dan kenderaan yang rosak.

    Teknologi serupa digunakan untuk koridor pengangkutan berat pintar di sekitar Austin, Texas, yang bertujuan untuk memaklumkan pemandu trak tentang keadaan jalan raya dan akhirnya menyokong trak tanpa pemandu.

    Pengarah Strategi dan Inovasi di Jabatan Pengangkutan Texas, Darran Anderson, berkata pegawai berharap teknologi itu bukan sahaja dapat memperkukuh industri pengangkutan berat tetapi juga membantu membalikkan trend kemalangan yang tidak pernah berhenti sejak dua dekad lalu. Hari terakhir tanpa kematian di jalan raya Texas adalah pada 7 November 2000.

    Cavnue, anak syarikat Washington DC yang berasaskan Sidewalk Infrastructure Partners Alphabet, telah membiayai projek di Michigan dan dianugerahkan kontrak untuk projek di Texas. Syarikat itu bercita-cita menjadi peneraju dalam teknologi jalan raya pintar. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda