BANDARAYA MEXICO, 31 Dis – Lapan orang maut manakala 48 lagi cedera apabila sebuah bas terhumban ke dalam gaung kelmarin di negeri Guanajuato yang terletak di Mexico tengah, lapor agensi berita China Xinhua.
Nahas itu berlaku di Lecon, menurut pihak berkuasa bandar raya dalam satu kenyataan.
“Malangnya, terdapat lapan mangsa yang terkorban setakat ini, termasuk pemandu bas,” kata mereka.
Dikeluarkan pada 2015, bas malang itu telah menjalani pemeriksaan mekanikal terkini, menurut biro transit bandar raya tersebut.
Beberapa mangsa yang cedera berada dalam keadaan parah, kata Daniel Diaz, setiausaha kesihatan awam negeri kepada pemberita.
Antara mangsa yang cedera parah adalah seorang wanita hamil yang kandungannya berusia 35 minggu, kata Diaz. Siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca nahas. – Bernama