BANGKOK, 1 OKT – Sebuah bas dua tingkat yang membawa guru dan pelajar dari wilayah Uthai Thani di utara Thailand terbakar hari ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 23 orang.
“Kami menemui 23 mayat di dalam bas,” beritahu Ketua Pejabat Sains Forensik Polis Thailand, Trairong Phiwpan kepada pemberita. Masih belum jelas jumlah orang dewasa dan kanak-kanak yang terkorban.
Thai PBS World melaporkan bahawa bas yang membawa 38 pelajar dan enam guru dari Sekolah Wat Khao Phraya di daerah Lan Sak, sedang dalam perjalanan ke Bangkok ketika kejadian berlaku di Jalan Vibhavadi Rangsit.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berkata beliau mengarahkan beberapa menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit serta Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand, Sabida Thaiset, untuk melawat lokasi kejadian. – Bernama/AFP