COLOMBO, 11 MEI – Sebuah bas penumpang terbabas dan jatuh dari tebing di kawasan tanah tinggi penanaman teh di Sri Lanka pada awal pagi hari ini, mengorbankan 21 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 14 yang lain, menurut seorang pegawai.
Menurut pihak polis, kejadian berlaku berhampiran pekan Kotmale, kira-kira 140 kilometer ke timur Colombo, ibu negara Sri Lanka, di kawasan pergunungan tengah negara itu.
Timbalan Menteri Pengangkutan dan Lebuhraya, Prasanna Gunasena memberitahu media bahawa 21 orang maut dalam kemalangan itu, manakala 14 yang lain sedang menerima rawatan di hospital.
Siaran televisyen tempatan menunjukkan bas tersebut terbalik di dasar gaung, manakala para penyelamat dan orang awam membantu mengeluarkan mangsa yang cedera dari runtuhan.
Pemandu bas turut cedera dan merupakan antara mereka yang dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Ketika kejadian, bas tersebut membawa hampir 50 penumpang.
Menurut polis, bas berkenaan dikendalikan oleh sebuah syarikat bas milik kerajaan.
Kemalangan maut membabitkan bas adalah perkara biasa di Sri Lanka, khususnya di kawasan pergunungan, yang sering dikaitkan dengan pemanduan berbahaya serta jalan yang sempit dan kurang diselenggara. – AP
