LIMA, 1 SEPT – Seramai 32 penumpang maut, termasuk dua kanak-kanak, dan lebih 20 lagi cedera apabila sebuah bas jatuh dari tebing di Peru awal pagi semalam, kata pegawai.
Ia adalah tragedi buruk pengangkutan ketiga di negara itu dalam tempoh empat hari. Kemalangan berlaku di jalan sempit Carretera Central, kira-kira 60 kilometer di timur ibu negara, Lima.
Komander polis, Cesar Cervantes memberitahu TV Peru, ada dua kanak-kanak dalam kalangan yang maut dan terdapat juga kanak-kanak dalam kalangan yang cedera.
Terdapat 63 penumpang di dalam bas, dan pegawai tempatan, Freddy Laorte menyatakan 29 daripadanya meninggal dunia.
Usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan untuk mencari mangsa yang selamat dan juga mereka yang terkorban, kata jabatan polis di Twitter.
Cervantes menyatakan ‘kelalaian’ menyumbang kepada kemalangan semalam, sambil menambah bahawa bas itu dipandu ‘dengan kelajuan tinggi’.
Bas itu merempuh batu dan jatuh ke jurang sedalam 200 meter, menurut catatan mangsa.
Ahad lalu, 14 orang maut ketika dua bot bertembung di sungai Amazon di Peru dan terdapat mangsa yang masih belum ditemui. – AFP
