TORONTO, 16 JUN – Sebuah bas yang membawa warga emas ke kasino bertembung dengan sebuah trak separuh treler di persimpangan lebuh raya di bahagian luar bandar wilayah Manitoba Kanada kelmarin, membunuh 15 orang dan mencederakan 10 lagi, kata polis.
Pegawai Pemerintah Polis Diraja Kanada Manitoba, Rob Hill berkata bas itu membawa 25 orang dan pihak berkuasa di Manitoba mengerahkan semua sumber mereka ke tempat kejadian. Sepuluh orang telah dibawa ke hospital.
Penyiar TV menyiarkan imej yang kelihatan seperti van besar atau bas yang terbakar di dalam parit berhampiran trak pengangkutan dengan enjin remuk di atas jalan. Jalan raya dipenuhi serpihan kaca pecah, bampar besar dan apa yang kelihatan seperti alat bantu berjalan. – AP


