Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Agama Islam menuntut umatnya supaya mengingati Baginda Rasulullah SAW dengan berselawat, kerana berselawat merupakan doa dan sanjungan terhadap Rasulullah SAW.
“Perbanyakan selawat ke atas Baginda SAW kerana amalan berselawat tidak terhad pada waktu, bulan atau musim tertentu sahaja, selawat ke atas Baginda adalah perkara besar, perkara agung, perkara yang tidak boleh dipandang ringan selaku umat Rasulullah SAW”.
Perkara ini ditegaskan oleh Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini bertajuk, ‘Rebut fadhilat dan kelebihan berselawat’’, dan seterusnya menjelaskan selawat merupakan ikatan yang menghubungkan seseorang mukmin dengan Rasulullah SAW bagi menterjemah perasaan kecintaan, kerinduan dan kasih sayang terhadap Baginda SAW.
Sesungguhnya selawat daripada Allah bererti rahmat dan keredaan untuk Baginda, selawat daripada malaikat bererti doa dan memohon ampun untuk Baginda dan selawat daripada umat Islam bererti doa memohon supaya Allah melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada Baginda.
Sekarang kita berada pada bulan Rabiulawal, bulan di mana junjungan besar Nabi Muhammad SAW diputerakan, dan memang wajar bagi umat Islam mengenang jasa yang begitu besar telah dicurahkan oleh Baginda Rasulullah SAW iaitu menyelamatkan manusia daripada alam jahiliah kepada hidup bertamadun daripada kebatilan kepada kebenaran.
Kepimpinan dan akhlak Baginda sepatutnya dicontohi dan diteladani, tidak bererti jika hanya memperingati kelahiran Baginda sedangkan tunjuk ajar dan kepimpinan Baginda tidak dihayati dan diikuti serta tidak mendatangkan perubahan terhadap diri.
“Betapa besar pengorbanan Baginda Rasulullahlah SAW dalam berjuang menyebarkan dakwah Islam yang penuh dengan peristiwa pahit dan getir, menempuh berbagai-bagai ancaman dan halangan, menghadap bermacam-macam-macam kesengsaraan, penderitaan, penindasan dan sebagainya,” kata Khatib.
Khatib turut berkata, Baginda Rasulullah SAW tetap tidak berputus asa dalam menjalankan perintah Allah dengan keimanan yang tebal dan keyakinan yang padu kepada Allah disertai dengan kasih sayang Baginda Rasulullah SAW kepada umat Baginda yang akhirnya Baginda berjaya menegakkan syiar Islam di seluruh alam.
Katanya lagi, “tidak hairan amalan berselawat itu mendatangkan banyak keutamaan dan fadilat yang antaranya orang yang berselawat akan dilimpahkan rahmat oleh Allah SWT, dosa-dosanya diampunkan dan ditingkatkan darjatnya sebagaimana Rasulullah SAW”.
Selain itu, dengan memperbanyakkan berselawat juga doa akan lebih cepat dimakbulkan, berselawat jua dapat membersihkan hati dan melapangkan fikiran atau kesempitan yang dihadapi oleh pengamalnya dalam menjalani kehidupan seharian.
Selawat juga, jelas Khatib boleh menjadikan kita sihat sejahtera dan dijauhi dari segala malapetaka dan dapat menyembuhkan segala penyakit dengan izin Allah SWT, dan selawat juga dapat meluaskan dan memberkati rezeki pengamalnya.
Melihat kepada banyak ganjaran bagi orang yang berselawat, Khatib dalam khutbahnya mengingatkan ruginya jika tidak memperbanyakkan selawat dan menjadikannya sebagai zikir dan amalan harian, selain itu, jika mendengar nama Rasulullah SAW disebut, hendaklah berselawat.
Dengan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW, khatib menyeru untuk mendalami dan menghayati sirah kehidupan dan pengorbanan Baginda SAW untuk menyuburkan rasa cinta dan rindu kepada Baginda kerana dengan demikian akan memudahkan seseorang untuk mengamalkan selawat.
“Beruntung umat Islam jika terus menerus mengamalkan selawat dan menghayatinya pada setiap masa dan ketika, tidak hanya sekali dalam setahun iaitu pada masa memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW sahaja.
“Sama-sama membasahi lidah dengan memperbanyakkan selawat kepada Baginda SAW dan mudah-mudahan selawat yang diamalkan dengan rasa kasih sayang itu kita akan beroleh syafaat daripada Baginda SAW di akhirat kelak, “tambahnya.


