Oleh Adib Noor –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Majlis penyerahan baju tajaan Great Wall Motors (GWM) bagi pasukan Sofbol dan Besbol Amatur Brunei (BASBA) lelaki dan wanita telah diadakan di bilik pameran GWM di Beribi Walk hari ini.
Hadir bagi menerima baju tajaan itu ialah Naib Presiden BASBA, Wan Mohd Tambrin Sah bin Haji Suhaili yang diserahkan oleh Ketua Jualan GWM, Kelly Chin. Pasukan sofbol lelaki dan wanita Brunei bersedia untuk bersaing dalam 10th Asian Masters Fastpitch Softball 2023 yang akan diadakan pada 18 hingga 23 Oktober di Pattaya, Thailand Wan Mohd Tambrin Sah mengongsikan bahawa kejohanan itu akan menampilkan pasukan dari Singapura, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Malaysia dan Thailand antara lain.
Menurut beliau, kejohanan yang terbuka kepada pemain berumur 40 tahun ke atas bagi kategori lelaki dan 35 tahun ke atas bagi kategori wanita itu menyaksikan pasukan lelaki berjaya meraih perak pada pertemuan tahun lalu. Maka, pada tahun ini, kedua-dua pasukan lelaki dan wanita berharap agar mereka dapat membawa pulang pingat.
“Kami sentiasa menyokong pasukan tempatan dan berharap tajaan kami akan membantu meningkatkan semangat mereka dan membantu kejayaan mereka,” kongsi Kelly Chin.
BASBA berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh GWM untuk kejohanan tersebut.
