BASE sediakan pakej COVID-19 untuk pekerja binaan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Organisasi projek masyarakat, Building a Safer Environment (BASE) akan melengkapkan para pekerja pembinaan dengan peralatan perlindungan diri yang betul bagi memastikan mereka kekal selamat ketika bekerja kerana majoriti industri pembinaan masih perlu bekerja di tempat kerja yang ramai orang dengan kebersihan tidak dikawal.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BASE, pakej COVID-19 itu akan merangkumi pelitup muka pakai buang dan guna semula dan sebotol pensanitasi tangan persendirian.

Di samping itu, tambah kenyataan, kesedaran mereka mengenai topik-topik kesihatan dan keselamatan yang tertentu akan dinilai menerusi tinjauan yang diikuti dengan pengagihan riasalah dan poster pada hari sama pasukan-pasukan penganjur mengagihkan pakej-pakej COVID-19 berkenaan.

BASE bermatlamat untuk mempromosikan dan menggalakkan pemeriksaan penyakit pekerjaan dan kesihatan umum terhadap pekerja-pekerja pembinaan di tapak projek.

Sebelum gelombang kedua penularan wabak COVID-19 di negara ini, pemeriksaan kesihatan (termasuk BMI, tekanan darah, paras gula dalam darah, air kencing), pemeriksaan
kulit, pemeriksaan kesihatan mental dan jerayawara kesedaran dijadualkan diadakan di beberapa syarikat pembinaan terpilih.

Tetapi disebabkan penularan wabak berkenaan, fokus kumpulan berkenaan adalah melengkapkan para pekerja binaan dengan kelengkapan perlindungan diri.