Friday, December 27, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Basmi penyakit NTD tahun 2020

    ABU DHABI, 30 JAN – Pendukung masyarakat sivil, pemimpin masyarakat, pakar kesihatan dan pembuat dasar dari seluruh dunia berhimpun pada hari ini untuk menyertai Hari Sedunia mengenai Penyakit Tropika yang Diabaikan (NTD) yang julung kali diadakan di Abu Dhabi.

    2020 menjadi tahun penentu bagi kemajuan membasmi NTD apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia dijangka melancarkan matlamat baharu NTD sebagai garis panduan kepada perkembangan usaha itu, sehingga 2030.

    Lebih 250 peserta dijangka menyertai perhimpunan itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit tersebut, dengan satu misi untuk menamatkan NTD, lapor Agensi Berita Emiriah Arab Bersatu (WAM).

    Program jangka panjang itu sebahagian usaha Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menumpukan kepada NTD, meningkatkan sokongan dan mengetengahkan isu itu dalam agenda dunia.

    Setiausaha Rendah kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohamed Mubarak Al Mazrouei, berkata selama lebih 30 tahun UAE komited untuk menamatkan NTD, sejak ia diasaskan oleh Almarhum Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan.

    “Legasi itu terus dipelihara oleh Presiden UAE Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan dan Putera Mahkota Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan,” ujarnya.

    “Hari NTD sedunia akan meningkatkan kesedaran dan mendapatkan sokongan masyarakat bagi mendukung usaha segera untuk menamatkan NTD serta membantu memastikan isu itu sentiasa kekal sebagai agenda utama dunia. Komitmen kami bukan sekadar menghapuskan penyakit. Dengan menghapuskan halangan terhadap penyakit itu, kami dapat membantu membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf seluruh generasi,” katanya.

    NTD menjejaskan lebih 1.5 bilion orang paling miskin di dunia dan kos membangun ekonomi berbilion dolar setiap tahun.

    Walaupun terdapat kemajuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, masih banyak cabaran perlu diharungi memandangkan setiap tahun NTD menjadi punca kepada ribuan kematian akibat penyakit yang boleh dicegah dan kecacatan menyebabkan kitaran kemiskinan terus kekal apabila jutaan golongan dewasa tidak dapat bekerja dan kanak-kanak tidak mampu ke sekolah.

    30 Januari merupakan ulang tahun Perisytiharan London 2012 mengenai NTD, yang menjadi penyatu rakan kongsi di seluruh sektor, negara dan komuniti untuk mendorong pelaburan dan tindakan lebih berkesan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda