Saturday, December 7, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    BASMIDA beriga bahaya dadah sempena IDADAIT

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 4 JULAI – Sempena Hari Antarabangsa Menentang Penyalah-gunaan Dadah dan Pemerdagangan Haram (IDADAIT) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang disambut setiap 26 Julai, Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA) telah mengendalikan program outreach komuniti (COP) di Daerah Belait, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada acara yang diadakan di Dewan Serba Guna SPARK, Kampung Sungai Liang itu ialah Pengarah Biro Kawalan Narkotik (BKN), Awang Mohd Zalani bin Ismail yang dialu-alukan oleh Presiden BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali serta pengerusi majlis, Hajah Linda Aini binti Abdullah dan ahli-ahli persatuan.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku penghulu Mukim Liang dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku pemangku penghulu Mukim Labi serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.

    Bermatlamat untuk berkongsi dan memberigakan maklumat mengenai bahaya dan risiko penyalahgunaan dadah, acara itu menyaksikan kehadiran ahli-ahli penting dan penduduk kawasan sekitar yang berpeluang mempelajari mengenai kempen-kempen, inisiatif yang sedang dijalankan untuk membendung penyalahgunaan dadah.

    Datin Hajah Masni dalam ucapannya menyatakan bahawa tema bagi IDADAIT tahun ini adalah ‘Berkongsi Fakta mengenai Dadah, Selamatkan Nyawa’ dan acara itu diadakan untuk menyahut tema berkenaan.

    Tetamu mengunjungi pameran yang disediakan oleh BKN semasa acara berkenaan.

    Manakala itu, Awang Mohd Zalani dalam ucapannya pula memuji BASMIDA dalam menganjurkan acara tersebut dengan pendekatan Whole of Nation dalam memfokuskan akar umbi masyarakat.

    Beliau berharap persatuan itu akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi setempat yang berkaitan pada masa hadapan untuk menjangkau komuniti dan masyarakat di seluruh negara.

    Acara diteruskan penyampaian cenderahati penghargaan kepada ahli-ahli penting dari masyarakat sekitar, sebelum menyaksikan pameran yang disediakan oleh BASMIDA dan BKN yang memfokuskan terhadap peranan masing-masing dalam membendung penyalahgunaan dadah di negara ini.

    Ini ditambah dengan taklimat-taklimat oleh pegawai-pegawai dari BKN yang menjelaskan lebih lanjut mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

    Hajah Linda Aini menyatakan bahawa persatuan tersebut akan terus menjalankan COP di tempat-tempat lain di negara ini pada masa hadapan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda