Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasa ahli komuniti ke arah kehidupan yang lebih produktif dan berdikari, Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA) mengadakan Majlis Perasmian Bilik Terapi Urut dan Refleksologi serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Establismen Rawatan Kesihatan dan Kecantikan Waty Armeyza dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat BASMIDA, Kampung Anggerek Desa, hari ini.
Inisiatif itu merupakan kesinambungan daripada latihan terapi urut dan refleksologi yang telah diberikan kepada para peserta sebelum ini, sebagai platform menjana pendapatan secara sah, beretika dan menyumbang secara positif kepada masyarakat.
Ia diharapkan menjadi titik permulaan ke arah kehidupan yang lebih stabil dan sejahtera bagi para peserta.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penandatanganan MoU bagi pihak BASMIDA ialah Yang Dipertua BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali.
Majlis turut menerima sokongan dan kehadiran para pegawai daripada agensi-agensi berkaitan seperti Biro Kawalan Narkotik, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta ahli-ahli Pusat Al-Islah.






Para peserta kursus turut hadir bagi memeriahkan acara, mencerminkan semangat kerjasama dan dorongan komuniti yang erat.
Terdahulu Naib Yang Dipertua BASMIDA, Hajah Linda Aini binti Abdullah dalam ucapan alu-aluannya menyatakan majlis itu bukan sahaja meraikan satu lagi pencapaian BASMIDA dalam mengembangkan inisiatif berasaskan komuniti tetapi juga mencerminkan iltizam dalam menyediakan ruang yang lebih bermakna dan berdikari kepada para peserta yang pernah melalui cabaran kehidupan.
“Usaha ini lahir daripada sema-ngat kebersamaan dan kepercayaan bahawa setiap insan berhak diberi peluang kedua untuk membina masa depan yang lebih positif, berdaya saing dan bermaruah.”
Majlis diteruskan dengan penandatanganan MoU antara BASMIDA dan WA sebagai rakan srategik dalam menyediakan platform perkhidmatan terapi dan refleksologi kepada orang awam.
Pada majlis berkenaan, menandatangani bagi pihak BASMIDA ialah Datin Hajah Masni dengan saksi, Hajah Linda Aini dan bagi pihak WA ialah Pengurus Eksekutif WA, Dayang Latifah bintu Abdul Razak dengan saksi, Pengasas dan Pengusaha WA, Hajah Marian binti Napiah.

