OSLO, 3 NOV – Syarikat pertahanan NHIndustries (NHI) yang diketuai Airbus bersetuju membayar pampasan berjumlah AS$351 juta kepada Norway bagi menyelesaikan pertikaian berhubung pembatalan tempahan helikopter tentera yang lewat dihantar, menurut kerajaan negara itu, hari ini.
Norway telah menempah 14 helikopter NH90 pada 2001 untuk dilengkapkan kepada armada frigat tentera laut dan pasukan pengawal pantainya menjelang akhir 2008.
Namun, program itu mengalami kelewatan sehingga mendorong kerajaan Norway membatalkan kontrak tersebut pada 2022 selepas hanya menerima lapan unit pesawat.
Oslo kemudian memfailkan saman terhadap NHI, sebuah konsortium yang dianggotai Airbus Helicopters, firma pertahanan Itali Leonardo dan syarikat Belanda Fokker, dengan tuntutan pampasan hampir 2.9 bilion euro bagi pembayaran balik dan kerosakan. – AFP

