Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Batal undang-undang anti-rokok satu ‘vandalisme kesihatan awam’

    WELLINGTON, 28 NOV – Doktor mengecam kerajaan konservatif New Zealand hari ini kerana membatalkan undang-undang anti-merokok terkemuka dunia, memberi amaran bahawa orang ramai akan mati kerana tindakan ‘vandalisme kesihatan awam’.

    Negara itu meluluskan langkah anti-rokok di bawah bekas Perdana Menteri Jacinda Ardern, yang mendapat pujian sebagai peneraju dunia dalam perjuangan global menentang Big Tobacco.

    Tetapi pakar-pakar kesihatan awam kini bimbang bahawa reputasi akan rosak, selepas Perdana Menteri baharu, Christopher Luxon membatalkan undang-undang tersebut pada hari pertama beliau memulakan tugas.

    Pakar kawalan tembakau Universiti Otago, Richard Edwards memberitahu AFP bahawa ‘tragedi’ kesihatan awam sedang berlaku di negara itu, yang pernah menjadi hampir sepenuhnya bebas asap rokok menjelang 2025.

    “Ia bukan sesuatu yang kami jangkakan, kami tidak fikir kerajaan boleh mundur begitu,” katanya.

    Christopher Luxon semasa mengangkat sumpah kerajaan baharu di Rumah Kerajaan di Wellington pada 27 November. – AFP

    “Saya benar-benar terkejut. Ia adalah salah satu hari paling teruk yang saya akan ingati untuk kesihatan awam. Ia adalah vandalisme kesihatan awam.”

    Dr Samantha Murton, Presiden Kolej Pengamal Am Diraja New Zealand, juga mengkritik langkah itu.

    “Kami terkejut bagaimana awda boleh memansuhkan sesuatu yang telah disokong secara meluas dan akan menghalang kematian begitu ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pembaharuan tajuk utama ialah ‘larangan generasi merokok’ yang akan secara berkesan mengharamkan penjualan rokok kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2008.

    Langkah lain akan memaksa syarikat tembakau menurunkan paras nikotin dalam rokok dan mengurangkan bilangan kedai yang dibenarkan untuk menjual produk tembakau daripada 6,000 kepada 600.

    “Tiada satu pun daripada langkah tersebut yang belum dilaksanakan di peringkat kebangsaan di mana-mana negara di seluruh dunia. Ia sangat inovatif,” kata Edwards. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda