(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Apabila suami atau isteri meninggal dunia ada yang menganggap bahawa jika isteri mencium mayat suaminya setelah dimandikan dan diwudhu’kan akan membatalkan wudhu’ mayat tersebut. Begitu juga sebaliknya, jika suami mencium mayat isterinya.
Anggapan wudhu’ mayat terbatal dengan perbuatan isteri mencium mayat suaminya atau sebaliknya mungkin saja timbul dari fahaman bahawa hukum dalam perkara membatalkan wudhu’ bagi orang sudah meninggal sama seperti wudhu’ orang yang masih hidup. Akan tetapi, apa yang sebenarnya hukum tersebut adalah berbeza.
Hukum Wudhu’ Mayat
Antara perkara yang dilakukan ketika memandikan mayat ialah mewudhu’kannya sebagaimana wudhu’ orang yang hidup, dan salah satu perkara yang membatalkan wudhu’ ialah bersentuhan kulit lelaki dan perempuan ajnabi. Apabila salah seorang di antara keduanya itu sudah menjadi mayat, hukum batal wudhu’ tidak berlaku ke atas mayat itu.
Wudhu’ mayat tidak terbatal sama ada disentuh ataupun selainnya seperti keluar najis selepas dimandikan sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Khatib Asy-Syarbini Rahimahullah dalam kitab Mughni al-Muhtaj yang ertinya: “Dan tidaklah (mayat) menjadi berhadats setelah disentuh dan selainnya kerana gugur taklif (tanggungjawab ugama) daripadanya.”
Dalam perkara memandikan mayat, adalah sunat jika suami ingin memandikan mayat isterinya ataupun sebaliknya isteri ingin memandikan mayat suaminya menggunakan sarung tangan supaya tidak bersentuhan kulit antara keduanya ketika memandikan mayat itu. Tujuan menggunakan sarung tangan itu ialah supaya wudhu’ orang yang hidup antara suami atau isteri yang memandikan itu tidak terbatal. Adapun wudhu’ mayat yang dimandikan itu tidak terbatal kerana mayat itu tidak lagi mukallaf.
Hukum Isteri Mencium Mayat Suaminya Ataupun Sebaliknya
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mencium mayat saudara sesusuan Baginda iaitu ‘Utsman bin Mazh‘un sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya: “Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mencium ‘Utsman bin Mazh‘un dan dia (ketika) itu sudah meninggal dunia, dan Baginda menangis, atau (Abdur Rahman bin Mahdiy salah seorang periwayat hadits) berkata: Kedua matanya menitiskan air mata.”(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Selain Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam, perbuatan mencium mayat ini juga dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu sebagaimana diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas dan ‘Aisyah Radhiallahu ‘anhum yang maksudnya: “Bahawa Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu telah mencium Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan Baginda (ketika itu) telah wafat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Berdasarkan hadits ini maka hukum mencium mayat adalah harus bagi ahli keluarga si mati dan seumpama mereka seperti sahabat-sahabat sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haithami Rahimahullah dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj.
Adalah harus mencium mayat pada wajah mayat tersebut kerana perkara itu yang warid.
Bersambung


