Sambungan minggu lepas
Batalkah Wudhu’ Mayat Suami yang Dicium Isterinya Ataupun Sebaliknya Mayat Isteri Yang Dicium Suaminya?
Berdasarkan penjelasan sebelum ini, adalah jelas bahawa tidak mengapa jika isteri mencium mayat suaminya ataupun suami mencium mayat isterinya kerana perkara mencium mayat itu adalah warid dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Sementara kedudukan hukum wudhu’ mayat itu pula tidaklah batal walaupun setelah isteri mencium mayat suaminya begitu juga sebaliknya.
Hukum batal wudhu’ ini hanyalah berlaku ke atas orang yang masih hidup berdasarkan hukum bersentuhan kulit antara suami dan isteri adalah membatalkan wudhu’.
Kedudukan wudhu’ tidak batal ke atas mayat itu adalah kerana hukum ugama tidak lagi dipertanggungjawabkan ke atasnya.
Demikianlah huraian yang berkaitan dengan kedudukan wudhu’ mayat suami setelah isteri menciumnya.
Wudhu’ mayat tidaklah terbatal walaupun bersentuhan dengan isteri yang masih hidup kerana mayat itu tidak lagi mukallaf.
Akan tetapi wudhu’ isteri terbatal jika bersentuhan dengan mayat suaminya. Malah dalam keadaan tertentu seperti isteri memandikan mayat suami atau sebaliknya suami memandikan mayat isteri disunatkan bagi yang memandikan menggunakan sarung tangan supaya wudhu’ siapa yang memandikan tidak batal.


