Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Batang Kali: 4 mayat ditemukan bergulung dengan khemah

    BATANG KALI, 22 DIS – Empat mayat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini, ditemukan dalam keadaan bergulung dengan satu kanvas khemah pada 11:04 pagi.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Suffian Abdullah berkata keempat-empat mayat itu terdiri daripada satu lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

    “Kesemua mayat berkenaan ditemukan dalam satu khemah yang sama di Sektor C pada kedalaman tujuh meter, lengkap berpakaian dan sudah mula mereput.

    “Buat masa ini identiti mereka masih belum dikenal pasti. Jadi, polis tidak dapat mengesahkan sama ada kesemua mayat ini merupakan anggota keluarga atau tidak,” katanya pada sidang media di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.

    Kesemua mayat berkenaan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

    Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, yang memasuki hari ketujuh menemukan empat lagi mayat pagi kelmarin. – Bernama

    Dengan penemuan itu, hanya seorang kanak-kanak lelaki masih belum ditemukan.

    Data baharu itu diperoleh selepas polis hari ini mengesahkan jumlah rasmi dan sebenar kesemua mangsa terlibat adalah seramai 92 orang dan bukannya 94 orang seperti yang dikeluarkan sebelum ini.

    Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa yang selamat adalah seramai 61 orang manakala meninggal dunia seramai 30 orang, termasuk empat mayat yang ditemukan pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed, jumlah baharu itu diperoleh setelah perkiraan dan semakan semula yang dibuat beberapa kali berdasarkan maklumat dan laporan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk ahli keluarga.

    Sebelum ini, angka 94 orang digunakan meliputi orang yang hilang, selamat dan meninggal dunia yang diperoleh berdasarkan data mereka yang berdaftar di pusat perkhemahan tersebut, namun kekeliruan timbul disebabkan terdapat pertindihan data dan perkara itu disedari pihak polis beberapa hari lepas.

    Bagaimanapun, identiti kanak-kanak lelaki yang belum ditemui itu tidak dapat dikenal pasti lingkungan umurnya dan operasi mencari dan menyelamat mangsa akan dijalankan sehingga beliau ditemukan atau setelah pasukan penyelamat menerima arahan tertentu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda