Thursday, December 5, 2024
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Batik ikat celup bakal jadi sumber pendapatan baharu

    KUCHING – Suriayani Wahap, 55, tidak mahu menjadikan usianya sebagai penghalang untuk beliau mula menceburkan diri dalam menghasilkan kraf tangan batik ikat celup dan ‘ecoprint’ yang mampu membantu meningkatkan ekonomi keluarganya.

    Mengakui berminat mendalami seni itu, Suriayani, dari Kampung Santubong yang terletak kira-kira 35 kilometer dari pusat bandar raya Kuching, yakin hasil jualan kraf seperti baju atau beg bercorak batik ikat celup atau menggunakan teknik ‘ecoprint’ dapat menambah pendapatan keluarganya yang kini hanya bergantung kepada pendapatan suaminya yang bekerja sebagai nelayan dan mengusahakan inap desa.

    “Saya ada juga menjual ikan masin secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan keluarga tetapi tidak seberapa, jadi ini mendorong saya untuk belajar membuat baju atau beg bercorak batik ikat celup.

    “Tidak ramai yang menjual produk seperti ini dan difahamkan sekarang terdapat banyak permintaan, jadi saya ingin merebut peluang untuk menceburkan diri dalam bidang yang baharu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Suriayani berkata perancangan awalnya ialah menghasilkan produk batik yang mempunyai motif corak tersendiri untuk dijual kepada pelancong yang datang melawat kampungnya selain dipasarkan di inap desa serta penduduk setempat.

    Antara proses penghasilan batik ikat celup. – Agensi
    Suriayani Wahap (kanan) dan Abdul Rasid Bujang menunjukkan kraf tangan batik ikat celup dan ‘ecoprint’ yang mereka hasilkan. – Bernama
    Salah seorang peserta menunjukkan hasil batik ikat celupnya. – Agensi
    Salah seorang peserta sedang menghasilkan batik ikat celup. – Agensi
    Para peserta menunjukkan proses menghasilkan batik ikat celup. – Agensi
    Peserta sedang menghasilkan batik ikat celup. – Agensi
    Peserta kursus menunjukkan hasil batik ikat celupnya. – Agensi
    kraf tangan batik ikat celup mampu menjadi tarikan pelancongan di kawasan Santubong dengan corak yang mempunyai identiti tersendiri. – Agensi

    Inisiatif kerajaan bantu masyarakat setempat

    Suriayani merupakan antara 50 peserta kursus Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf yang diadakan di Kampung Santubong bermula 12 hingga 14 November lepas, bagi memberi pendedahan dan membangunkan kemahiran peserta dalam penghasilan produk kraf yang menarik serta berkualiti untuk dipasarkan bagi menjana pendapatan.

    Kursus tersebut adalah sebahagian daripada Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) dan inisiatif kerjasama kerajaan Sarawak dan Persekutuan yang memberi manfaat besar selain berjaya membantu lebih 443 komuniti setempat dalam industri kraf tangan di seluruh negeri itu.

    Seorang lagi penduduk kampung itu yang menyertai kursus berkenaan, Abdul Rasid Bujang, 55, juga melihat hasil seni kraf tangan tersebut berpotensi dipasarkan hingga ke peringkat antarabangsa.

    Menurut Abdul Rasid, beliau melihat ia satu peluang perniagaan hasil inisiatif kerajaan untuk membantu masyarakat tempatan menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi keluarga.

    “Kursus percuma ini sebagai satu permulaan kepada kami untuk mempelajari kemahiran membuat kraf tangan. Secara tidak langsung kemahiran yang ada ini akan turut membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda yang berminat,” katanya.

    Batik ikat celup Santubong punyai identiti tersendiri

    Suriayani dan Abdul Rasid turut senada bahawa kraf tangan batik ikat celup mampu menjadi tarikan pelancongan di kawasan Santubong dengan corak yang mempunyai identiti tersendiri.

    Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kerajaan melalui kementeriannya giat bekerjasama dengan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai insentif seperti Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi bagi membantu usahawan kraf di seluruh Malaysia.

    Beliau berkata program yang dilaksanakan seperti memberi pengetahuan dan pendedahan berkaitan teknik, bahan dan proses melakukan celupan dalam menghasilkan kraf tangan dapat menggalakkan penduduk setempat aktif dengan aktiviti kraf sekali gus menjana pendapatan keluarga.

    “Pelbagai inisiatif yang kita lakukan untuk merancakkan industri kraf tangan batik terutama yang kita laksanakan di negeri ini diharap dapat menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan yang kita tawarkan di sini,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda